Ahmad Zahid dan Ismail

Isu Menteri Besar: BN Serah penyelesaian kepada Tuanku Muhriz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkaitan dengan isu melibatkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau juga tidak akan sekali-kali melanggar peruntukan yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Beliau berkata BN serta UMNO juga tidak akan mencampuri urusan membabitkan adat di negeri berkenaan, termasuk hal berkaitan dengan Dewan Keadilan dan Undang (DKU), sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak yang berkenaan untuk diselesaikan.

“Pada hemat saya, kepentingan rakyat harus diberi keutamaan dan jika terus berlaku permasalahan adat Dewan Keadilan dan Undang, itu bukan sesuatu yang harus dicampuri oleh Barisan Nasional dan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung ke-4, Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 di sini, hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ahmad Zahid berkata, keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan berjalan lancar, terutamanya menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membentangkan belanjawan negeri bagi 2027.

Pada Jumaat lepas, Istana Negeri Sembilan menegaskan bahawa Ismail mesti membuktikan sokongan majoriti yang berterusan dalam DUN bagi menentukan kedudukannya selaras dengan konvensyen dan peruntukan perlembagaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin parti-parti komponen BN supaya tidak menggunakan saluran media untuk menyuarakan perbezaan pandangan atau pendirian berhubung dengan sesuatu isu yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, sebarang salah faham dalam gabungan itu perlu diselesaikan secara tertutup pada peringkat kepimpinan utama parti komponen.

“Saya harap tidak ada polemik dalam kalangan pemimpin parti komponen Barisan Nasional. Walaupun mungkin ada terdapat salah tafsiran dan salah faham, ini bukan masanya untuk kita berpolemik.

“Jika ada salah faham mengenai sesuatu isu, jangan gunakan media untuk kita menyatakan pendirian, tetapi biar kepimpinan utama parti-parti komponen yang selesaikan. Kita tidak mahu masyarakat keliru dan salah tafsir tentang sesuatu isu,” katanya.

Peringatan itu dilihat merujuk kepada beberapa kenyataan terbuka oleh pemimpin komponen termasuk Pemuda MCA baru-baru ini yang membangkitkan cadangan supaya pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dikembalikan semula di Wilayah Persekutuan, selain kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berhubung dengan keperluan penyelarasan pendirian politik BN pada peringkat pusat dan negeri. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN