KUALA PILAH – Niat seorang pemuda mencari pendapatan tambahan menerusi tawaran pekerjaan di media sosial bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia kini terperangkap dalam sindiket penipuan sehingga dikaitkan dengan kira-kira 20 laporan polis di seluruh negara.
Muhammad Izzan Mohamad Hasim, 23, yang bekerja sebagai kelindan lori dari Melaka, kini terpaksa turun naik mahkamah bagi berdepan pelbagai pertuduhan selepas akaun bank miliknya disalahgunakan oleh sindiket terbabit untuk kegiatan pengubahan wang haram.
Abangnya, Sabre Mohamad Hasim, 35, mendedahkan kejadian bermula apabila adiknya terpedaya dengan iklan di Facebook sebelum berurusan melalui aplikasi Telegram dengan seorang individu dikenali sebagai ‘Kecik’.
Individu terbabit menawarkan pekerjaan sebagai tukang iklan di Kuala Lumpur dengan janji manis bayaran gaji RM500 seminggu.
“Adik diarahkan membuka akaun bank kononnya untuk urusan kemasukan gaji sebelum kad bank tersebut diserahkan kepada individu berkenaan.
“Pada 2 April tahun lalu, dia menerima surat daripada unit siasatan berkaitan pengubahan wang haram (AMLA). Kami ingatkan kes dah selesai selepas keterangan diambil, rupanya tidak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Menurut Sabre, keadaan menjadi lebih sukar memandangkan adiknya pernah mengalami gegaran otak akibat kemalangan jalan raya sebelum ini, sekali gus menyebabkannya mengalami masalah memori untuk mengingati kronologi kejadian dengan jelas.
Setakat ini, mangsa telah dijatuhkan hukuman denda RM1,400 bagi kes pertama di Cheras, Kuala Lumpur dan denda RM12,000 bagi kes kedua di Kulai, Johor selepas mengaku bersalah.
“Selepas denda RM12,000 dibayar, adik ditahan lagi selama tiga hari di Seri Alam bagi kes ketiga. Bagi kes itu dia mengaku tidak bersalah dengan jaminan RM8,000.
“Tidak cukup dengan itu, dia kini berdepan dua lagi pertuduhan baharu di Kuala Pilah dan Johor Bahru dengan nilai jaminan masing-masing RM1,000 dan RM4,000,” jelasnya.
Tambah Sabre, keluarganya kini buntu dan menanggung bebanan kewangan yang amat besar demi membayar kos denda, wang ikat jamin, serta kos pengangkutan untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah yang berbeza negeri.
Malah, mereka sekeluarga turut mempersoalkan bagaimana adiknya yang baru berusia 22 tahun ketika itu boleh dibenarkan membuka akaun jenis perniagaan yang akhirnya dieksploitasi oleh sindiket.
“Saya bukan mahu pertahankan kesalahan adik atau mahu dia terlepas daripada proses undang-undang, tetapi saya merayu pihak berkuasa menyiasat dalang sebenar kes ini dan meneliti kemungkinan agar semua kes berkaitan diselaraskan supaya keluarga kami tidak terus terseksa. Kami hanya mahukan keadilan dan mahu jadi teladan agar orang lain tidak menerima nasib sama,” katanya.














