PETALING JAYA – Hasrat seorang ibu untuk melihat anaknya mendapat ucapan tahniah daripada Perdana Menteri dan isteri atas anugerah kecemerlangan diterima kanak-kanak itu akhirnya menjadi kenyataan.
Ia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengutuskan ucapan tersebut pada hantaran ibu terbabit yang dikenali sebagai Kochaa di aplikasi Threads.
Menerusi hantaran tersebut, wanita itu memaklumkan bahawa anaknya menerima anugerah terbabit hari ini.
“Harini anak saya terima Anugerah Kecemerlangan. Nak request ucapan tahniah dari pemimpin kesayangan DS @anwaribrahim_my dan DS @drwanazizah agak2 dapat tak?,”tulis wanita itu.
Bagaimanapun hantaran tersebut mendapat perhatian Anwar dan Wan Azizah yang telah membalas hantaran ibu terbabit.
“Alhamdulillah, tahniah pada anak! Teruskan usaha, baca buku setiap hari dan sayang ibu bapa. Semoga jadi insan berilmu dan berakhlak mulia. Tahniah juga pada ibu bapa dan guru,”balas Anwar.
“MashaAllah hebatnyaa! Tahniah! Maktok doakan semoga cucunda terus membesar menjadi anak yang hebat dan membanggakan kedua ibu dan ayah.
“Semoga berjaya di dunia dan di akhirat. Aaminn YRA,”tulis Wan Azizah.
Turut mengutuskan ucapan tahniah adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan.
“Salam. Alhamdulillah, tahniah! Moga membesar jadi anak cemerlang dan solehah, dunia akhirat,” komennya.-KOSMO! ONLINE














