KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti keperluan menambah pembantu warden serta guru bimbingan dan kaunseling bagi memastikan pelajar mendapat perhatian dan sokongan optimum sepanjang berada di asrama.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, impian ibu bapa melihat anak-anak menjejakkan kaki ke sekolah berasrama penuh (SBP) harus seiring dengan kemampuan serta kesediaan emosi anak-anak itu sendiri.
“Dalam kita menyusun masa depan anak-anak, penting untuk kita turut mendengar suara dan memahami isi hati mereka.
“Impian kita sebagai ibu bapa perlu berjalan seiring dengan kemampuan dan kesediaan emosi anak-anak,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau memaklumkan telah mengadakan perbincangan bersama pihak polis di Kuala Kangsar, Perak mengenai usaha memperkukuh aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar di asrama institusi pendidikan berkenaan.
Ia merangkumi aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP), pengurusan asrama serta kepentingan ibu bapa menilai tahap kesediaan anak-anak sebelummenghantar mereka ke sekolah berasrama.
Fadhlina berkata, setiap anak mempunyai tahap penyesuaian yang berbeza dengan ada yang cepat menyesuaikan diri dan sebahagian lagi memerlukan masa lebih lama.
Katanya, ada anak yang mampu menghadapi persaingan akademik dengan baik, sementara yang lain memerlukan lebih banyak dorongan.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan menyediakan ruang untuk anak-anak bercerita dan didengari tanpa dihakimi.
“Saya mahu ibu bapa tahu bahawa kita berkongsi harapan yang sama. Kita mahu anak-anak berjaya tetapi lebih daripada itu, kita mahu mereka membesar dengan selamat dan bahagia,” katanya.
Beliau turut menasihati ibu bapa supaya tidak terlalu risau sekiranya anak-anak tidak memasuki sekolah yang diimpikan kerana setiap anak mempunyai jalan dan masa tersendiri untuk berjaya.
“Yang paling penting, di mana pun mereka (anak-anak) belajar, biarlah mereka tahu bahawa kasih sayang dan penerimaan kita (ibu bapa) tidak pernah bergantung pada nama sekolah atau keputusan peperiksaan mereka,” katanya.-Bernama














