Gambar Hiasan

Kelantan, Terengganu dijangka hujan lebat mulai Selasa hingga Khamis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan kawasan di Kelantan dan Terengganu bermula Selasa hingga Khamis ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, luruan angin timuran dijangka berlaku di kawasan timur Semenanjung bermula 24 hingga 26 November ini sekali gus berpotensi membawa hujan sederhana hingga lebat di kedua-dua negeri berkenaan.

Menurutnya, analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini turut menunjukkan penumpuan angin yang merentasi rantau negara dijangka berlaku pada 25 hingga 27 November ini.

Keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan dan ribut petir beserta angin kencang dalam tempoh yang lebih lama.

“Luruan angin timuran dijangka berlaku di timur Semenanjung bermula 24 hingga 26 November 2026 yang berpotensi membawa hujan sederhana hingga lebat di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, penumpuan angin yang dijangka berlaku pada 25 hingga 27 November turut melibatkan kebanyakan negeri di Semenanjung serta Sabah.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan cuaca semasa menerusi saluran rasmi MetMalaysia.

Maklumat terkini boleh diperoleh melalui laman web rasmi Metmalaysia, aplikasi myCuaca serta platform media sosial jabatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN