KUALA LUMPUR – Pengalaman mendigitalkan lebih 100 juta halaman dokumen dan membantu institusi menjadi asas pertumbuhan Pro Office Technology Sdn Bhd (Prooffice) daripada perniagaan percetakan kepada penyedia penyelesaian pengurusan maklumat organisasi.
Prooffice dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan itu memastikan rekod lebih mudah dicapai, dicari dan digunakan di samping mengekalkan kawalan terhadap maklumat sensitif.
Ditubuhkan pada 1997 menerusi program keusahawanan dalaman Johor Corporation, syarikat itu kemudian melalui pengambilalihan oleh pihak pengurusan yang diterajui Datuk Mazrol Nizam Abdullah.
Syarikat yang beribu pejabat di Cyberjaya itu kini menawarkan pembangunan perisian, pembekalan perkakasan, sokongan infrastruktur, penyelesaian sandaran data, pengurusan rekod elektronik dan integrasi sistem.
Pelanggan Prooffice merangkumi sektor penjagaan kesihatan, agensi kerajaan, universiti serta organisasi yang mengendalikan dokumen dalam jumlah besar dan memerlukan akses kepada rekod bagi operasi harian.
“Dalam sektor kesihatan, syarikat membangunkan KPJ EMRA, iaitu sistem rekod dan pengarkiban perubatan elektronik yang menyokong Sistem Maklumat Klinikal KPJ.
“Pembangunannya bermula menerusi projek perintis di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri sebelum diperluas ke seluruh rangkaian hospital KPJ pada 2014,” kata syarikat itu.
Prooffice turut melaporkan sudah mendigitalkan lebih 30 juta halaman rekod pesakit sejak 2008, selain menyediakan peralatan, penyelenggaraan sistem, latihan teknikal dan sokongan kepada pasukan pendigitalan hospital.
Platform iDeM milik syarikat menyokong keseluruhan kitaran hayat rekod, daripada pewujudan, pengindeksan dan penyimpanan hingga capaian semula serta pelupusan. Aplikasi berasaskan web itu turut membolehkan organisasi mengurus versi dokumen dan mengawal akses pengguna.
Penawaran lain termasuk AttendPRO bagi pemantauan kehadiran kakitangan dan iDeaL untuk penerbitan serta pengurusan koleksi digital. Prooffice turut menyediakan sistem perancangan sumber perusahaan, pembangunan perisian mengikut keperluan pelanggan dan penyelesaian sandaran data.











