Tangkap layar kejadian curi kabel yang tular di media sosial.

Kumpulan curi kabel tular di Jalan Tun Razak diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis sedang giat mengesan sekumpulan individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di hadapan pusat hiburan TREC, Jalan Tun Razak di sini, selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.50 pagi tadi.

Menurutnya, laporan tersebut dibuat susulan penularan video berdurasi 38 saat di aplikasi Threads yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai sedang mencuri kabel di kawasan berkenaan.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada waktu siang membabitkan sekumpulan individu yang menggunakan dua buah kenderaan untuk menjalankan kegiatan memotong kabel.

“Bagaimanapun, kesemua suspek bertindak melarikan diri selepas dihampiri orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata, usaha mengesan kesemua suspek yang terlibat sedang giat dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9289 9222.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah klip video memaparkan sekumpulan individu sedang menjalankan kegiatan curi kabel secara terang-terangan pada waktu siang.

Menerusi video yang dimuat naik di Threads, beberapa individu dilihat melakukan kegiatan tersebut di kawasan terbuka tanpa menghiraukan kehadiran orang awam.

Dalam video berkenaan, kumpulan terbabit dipercayai menggunakan dua kenderaan iaitu Honda Odyssey dan Nissan Navara ketika melakukan kegiatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN