SIK – Polis mengenal pasti identiti dua adik-beradik termasuk seorang bayi perempuan berusia 16 bulan yang rentung dalam kebakaran di stor pejabat sebuah gudang simpanan tong gas di Kampung Teloi Tua, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sik, Superitendan Shamzury Saman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.18 pagi.
“Selepas operasi pemadaman selesai, pihak bomba menemukan dua mayat mangsa dikenali sebagai Mohd. Raifal Abdul Latif, tiga tahun dan Aishah Umairah berusia setahun empat bulan,” katanya.
Menurut beliau, siasatan mendapati kedua-dua mangsa tinggal bersama ibu mereka yang berusia 23 tahun. Ibu mangsa tidak bekerja dan tinggal menumpang sementara dengan datuk si mati di lokasi tersebut.
Katanya, datuk mangsa yang berusia 42 tahun dan bekerja sebagai kelindan lori tong gas tinggal di bilik lain yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.
Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan. Mayat dua beradik itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sik untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE














