Tiga mangsa yang terselamat daripada kebakaran di Taman Ria 11, Tawau hari ini. - IHSAN JBPM

Abang jaga adik autistik ditemukan rentung bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAWAU – Pengorbanan seorang abang berusia 13 tahun yang setia menjaga adik perempuannya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) autisme berusia 10 tahun mengundang sebak apabila mereka ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di Taman Ria 11 di sini pagi tadi.

Ibu saudara mangsa Noreen Malvine, 37, berkata Muhammad Nor Fazryn Norman dan adiknya Nurailin Nathania gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap di bilik kedua rumah teres dua tingkat itu yang dipasang jeriji.

“Ke mana-mana sahaja, dia (Muhammad Nor Fazryn) yang urus Nurailin dan mereka memang sentiasa bersama. Ketika tidur pun dia yang jaga, mereka satu bilik tetapi kedua-duanya tidak sempat menyelamatkan diri.

“Muhammad Nor Fazryn abang yang bijak, pelindung dan sentiasa mengutamakan adik-adiknya, terutama Nurailin,” katanya kepada Bernama.

Noreen berkata adik iparnya Nor Fazrina Edayu Faisal cuba menyelamatkan kedua-dua mangsa, namun terpaksa menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap bilik di tingkat dua bersama-sama tiga lagi anaknya apabila bumbung rumah berkenaan runtuh.

“Akibatnya, adik ipar saya cedera dan retak tulang belakang manakala seorang anaknya mengalami asma akibat kepulan asap yang tebal,” katanya.

Noreen kemudiannya membawa Nor Fazrina Edayu dan ketiga-tiga anaknya ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut sementara ahli keluarga lain mencari Fazryn dan Nurailin sebelum dimaklumkan mengenai penemuan mayat kedua-dua mangsa.

Noreen berkata Nor Fazrina Edayu kini dalam keadaan stabil namun masih menerima rawatan di hospital dan tidak dapat ke unit forensik untuk melihat jenazah kedua-dua anaknya berikutan kecederaan pada kaki yang menyukarkannya bergerak, meskipun menyuarakan hasrat itu menerusi panggilan video.

Suami Nor Fazrina Edayu yang juga adik kepada Noreen kini dalam perjalanan pulang ke Tawau dari tempat kerjanya di Kota Kinabalu.
Dalam pada itu, Noreen memberitahu kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata ketika kejadian terdapat enam mangsa terlibat namun empat daripadanya berjaya keluar menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba menemukan kedua-dua mangsa dalam keadaan rentung di bilik tingkat atas kediaman itu. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN