PETALING JAYA – “Saya tahu nama saya ini, menang salah, tidak menang pun salah.”
Demikian respons penyanyi terkenal, Aina Abdul merumuskan getar jiwanya sebaik menyelesaikan tugasan membawa nama Malaysia dalam pertandingan nyanyian Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand minggu lalu.
Menurut penyanyi berusia 33 tahun itu, biarpun mendapat sokongan padu daripada ramai orang, dia tidak ketinggalan dibenci banyak pihak yang sekadar mencari ruang untuk mengkritik dirinya. Bukan sekadar kecewa dengan keputusan hanya pulang di tempat keempat daripada 11 penyertaan, Aina mengakui dibelenggu tanggapan bahawa ada pihak yang mungkin berasa gembira melihat kekalahannya pada pertandingan berkenaan.
“Saya terfikir mungkin ramai yang gembira melihat saya kalah. Itulah yang bermain dalam fikiran saya ketika itu,” katanya.
Akuinya lagi, perasaannya bercampur-baur sebaik saingan berakhir apabila pada awalnya menganggap dirinya gagal memberikan persembahan terbaik untuk Malaysia.
“Sebenarnya, saya menyangka akan melalui pengalaman sebegitu selepas pertandingan berakhir. Saya menangis kerana ketika itu, saya merasakan seolah-olah sudah gagal.
“Saya tahu nama saya ini, menang salah, tidak menang pun salah. Terfikir, mungkin ramai yang gembira melihat saya kalah. Itulah yang bermain dalam fikiran saya ketika itu,” katanya pada sidang media sempena pembabitannya dalam Eurovision Song Contest Asia 2026 di Balai Berita Bangsar, semalam.
Mengulas pemilihan lagu Bluest Sky sebagai taruhan, Aina mengakui sedar karya itu mungkin tidak menepati cita rasa semua pihak, malah bukan formula terbaik untuk bersaing di pentas berkenaan.
Bagaimanapun, pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 itu berkata, keputusan mempertaruhkan lagu berkenaan dibuat atas dasar mahu mengekalkan identiti muzik sendiri, selain mencerminkan perjalanan seninya.
“Saya tahu apabila mempertaruhkan Bluest Sky, lagu itu bukanlah pilihan yang boleh diterima semua orang. Malah, mungkin itu bukan formula terbaik untuk bersaing di pentas Eurovision.
“Namun, saya memilih untuk membawa identiti sendiri. Itulah diri saya dan lagu yang hadir dalam perjalanan seni saya ketika itu. Saya percaya itulah keputusan terbaik yang boleh dibuat.
“Dalam pertandingan, adatnya ada menang dan kalah. Saya juga gembira melihat rakan-rakan dari negara Asia lain yang memperoleh kedudukan lebih tinggi. Itu rezeki mereka dan kita tidak boleh mempersoalkan rezeki masing-masing,” katanya.
Menerusi Eurovision Song Contest Asia 2026, Aina yang mempertaruhkan lagu Bluest Sky hasil nukilannya bersama komposer, Mac Chew mengumpul 152 markah, sekali gus menduduki tangga keempat daripada 11 peserta yang bertanding. – MEDIA MULIA














