Tangkap layar video tular yang memperlihatkan fenomena tersebut.

[VIDEO] Fenomena ‘awan pokok’ buat ramai terpukau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pemandangan luar biasa menyerupai tirai gergasi yang tergantung dari awan gelap di sekitar Jalan Ipoh, Kuala Lumpur mencuri perhatian orang ramai selepas rakaman fenomena berkenaan tular di media sosial hari ini.

Fenomena yang memperlihatkan hujan lebat turun secara tertumpu di satu kawasan itu turut menimbulkan rasa kagum dalam kalangan pengguna jalan raya yang berpeluang menyaksikannya.

Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads dikenali sebagai @anietaasril, kelihatan awan tebal berwarna kelabu gelap di ruang udara, manakala curahan hujan dari jauh kelihatan membentuk seakan-akan tirai yang menjulur ke permukaan bumi.

Lebih menarik, keadaan tersebut kelihatan jelas dari kawasan yang belum dilanda hujan lebat, sekali gus menghasilkan pemandangan yang jarang disaksikan sesetengah penduduk.

“Subhanallah, Allah Maha Besar. Aku pertama kali tengok macam ini. Lokasi Jalan Ipoh, Kuala Lumpur,” tulisnya menerusi hantaran tersebut.

Perkongsian berkenaan meraih perhatian pengguna media sosial dengan lebih 3,700 tanda suka selain ratusan komen dan perkongsian ketika tangkap layar dirakam.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa kagum terhadap kejadian itu, malah ada yang berkongsi pengalaman pernah menyaksikan fenomena hampir sama di lokasi lain.

Seorang pengguna, @muhdnasrijamal berkata, dia turut berpeluang menyaksikan kejadian tersebut dan mengakui terpegun melihat pemandangan berkenaan.

“Saya pun sempat tengok. Memang terpegun sekejap tadi, takjub dengan kebesaran Allah,” katanya.

Sementara itu, @noor_izara.zarith22 berkongsi pengalaman pernah berdepan keadaan serupa ketika menunggang motosikal.

“Saya pun pernah tengok, lagi lebar. Mula-mula terdetik apa itu di depan, ributkah? Sekali hujan lebat sangat tiba-tiba. Nak ambil gambar tidak sempat sebab sudah lencun naik motosikal waktu itu,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna @kiellahhh menjelaskan bahawa pemandangan berkenaan dikenali sebagai fenomena tirai hujan atau rain shaft.

Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila awan ribut melepaskan hujan yang sangat lebat dan padat secara tertumpu di kawasan yang kecil atau sempit.

Secara meteorologi, tirai hujan merujuk kepada jalur kerpasan yang kelihatan turun dari dasar awan, khususnya awan ribut, dan boleh dilihat dengan jelas dari kawasan sekitarnya yang tidak mengalami hujan.

Fenomena tersebut juga boleh menghasilkan perbezaan ketara antara kawasan yang sedang menerima hujan lebat dengan kawasan berhampiran yang masih kering.– KOSMO! ONLINE

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN