PETALING JAYA – Waktu siaran program realiti nyanyian, Gegar Vaganza (GV) Fantasia yang tamat lewat malam mengundang rungutan penonton apabila rata-rata mereka perlu bangun awal untuk bekerja keesokan harinya.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @fadzcardoza, dia menyuarakan cadangan supaya program berkenaan memulakan siaran lebih awal, iaitu sekitar pukul 8 malam.
Menurutnya, waktu siaran GV pada malam Ahad mungkin sesuai ketika musim terdahulu, namun keadaan berbeza apabila kebanyakan penonton kini terdiri daripada golongan yang masih bekerja.
“GV dulu-dulu boleh la buat Ahad malam. Yang tengok ‘batch’ mak pak kami. Isnin masuk kerja ‘barai’ oii. Mula awal sikit pukul 8 malam pun okey,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan pandangan tersebut dan mengakui turut berdepan situasi sama.
“Setuju, barai teruk ni. Dengan bekal pun tak buat hari ini. Masuk kerja menguap sahaja,” komen @za94_97.
“Patut buat Sabtu. Jadi Ahad ada tenaga lagi nak ‘scroll’, gaduh dan bekap artis masing-masing. Ini tahu-tahu leka ‘scroll’ lepas konsert sampai pukul 4 pagi,” tulis @hanisbronze pula.
“Aku pelik pagi tadi mengantuk sangat. Rupanya semalam pukul 1 baru tidur, layan GV pula. Patutlah, selalu pukul 11 dah tidur,” komen @syukrimystery85.
Dalam pada itu, pengguna @mrshannah_hilal berpendapat tempoh siaran boleh dipendekkan dengan mengurangkan selingan gurauan pengacara.
“Kan. Pengacara bergurau tak bertempat. Sengaja buat panjang program. Kita nak dengar orang menyanyi sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE














