‘Bunyi air itu seperti dentuman’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KANGSAR – Penduduk Taman Kuala Kangsar di sini memberitahu bunyi dentuman yang disangka disebabkan oleh lori pasir rupa-rupanya disebabkan limpahan air daripada menara tangki yang pecah.

Penduduk, Ahmad Saufi Ahmad Khalil, 36, berkata kejadian itu disedari ketika beliau dan ahli keluarga terdengar dentuman disusuli bunyi seakan-akan muatan pasir dipunggah dari lori.

“Saya sedang bersiap untuk ke Ipoh sebelum mendengar dentuman yang awalnya disangkakan bunyi lori pasir.

“Kami sekeluarga meninjau ke luar rumah dan terkejut melihat limpahan air.

“Dua anak saya yang masih kecil menjerit dan saya segera merakam kejadian, mujur limpahan dari tangki tidak memasuki perkarangan rumah kami,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, itu kali pertama kejadian sedemikian berlaku sejak mendiami kawasan terbabit sejak kecil, dengan tangki air milik Lembaga Air Perak (LAP) berkenaan difahamkan berusia lebih 40 tahun.

Insiden itu bagaimanapun tidak menjejaskan bekalan air ke kawasan kejiranan kerana bekalan air dialirkan secara terus ke rumah tanpa melalui tangki air itu.

Kejadian itu tular sejak semalam apabila kejadian pukul 4.30 petang itu didakwa berlaku selepas menara tangki air berstruktur besi yang sebahagian daripadanya berkarat, dikatakan pecah pada bahagian atas hingga air di dalamnya melimpah dalam kuantiti besar.

Tinjauan hari ini mendapati keadaan itu menyebabkan kerosakan pada sebahagian infrastruktur berhampiran, termasuk pagar dawai yang mengelilingi kawasan tangki air, padang rumput serta kerosakan pada konkrit longkang.

Walaupun tiada lagi limpahan air, kesan kejadian menyebabkan kawasan itu umpama baru dilanda banjir. 

Sementara itu, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata siasatan awal LAP mendapati punca kejadian disebabkan struktur tangki dengan kapasiti 455 meter padu itu yang sudah berusia.

Katanya, langkah mitigasi diambil LAP ialah membuka semua panel tangki yang terjejas dan merancang kerja penggantian tangki baharu, selain melaksanakan penilaian teknikal secara menyeluruh terhadap struktur tangki lama.

“Secara keseluruhannya, bekalan air di kawasan membabitkan 520 akaun pengguna stabil dan tidak terjejas.

“Pemantauan akan dilaksanakan berterusan susulan insiden ini,” katanya sambil menambah tangki air itu mula digunakan sejak 1983.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN