PETALING JAYA – Aktor juga usahawan, Shaheizy Sam secara terbuka menegur strategi pemasaran segelintir peniaga yang gemar mencipta kandungan tular berunsur fitnah demi melariskan jualan.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abd, Samad, 44, berkata, taktik sedemikian bukan sahaja tidak menjamin hasil yang baik malah disifatkan sebagai satu bentuk penganiayaan terhadap pelanggan.
“Viral sebenarnya tidak menjanjikan jualan yang baik, terutama sekali tular yang memfitnah.
“Ini namanya menganiaya, bukan berniaga. Macam mana nak berkat?” katanya dalam satu hantaran Threads hari ini.
Dalam hantaran sama, pengusaha sebuah restoran itu turut menasihati para peniaga agar memberi lebih tumpuan terhadap usaha mengubah mentaliti dan mengekalkan konsistensi terhadap kualiti produk masing-masing.
Menurutnya, kejayaan dalam perniagaan akan hadir seiring dengan usaha yang jujur peniaga tersebut.
“Fokus sahaja perbaiki diri sendiri dan konsisten dengan produk. Insya-Allah lambat laun akan berjaya juga
“Paling penting, percayalah Allah SWT itu ada. Percayalah balasan Allah itu benar.
“Bila hati rasa perbuatan itu baik, maka Allah akan balas dengan baik. Jangan tipu diri sendiri. Jaga hati,” katanya lagi.
Bagaimanapun, perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen di ruangan komen yang rata-ratanya mengaitkan nasihat berkenaan dengan kemelut melibatkan ahli keluarga isterinya, Syatilla Melvin.
“Nasihat ini sebenarnya untuk isteri awak dan adik-beradiknya, bukan? Bagus untuk muhasabah diri. Harap semua belajar sesuatu daripada hal ini.
“Jangan ikutkan sangat kata hati isteri itu,” kata seorang lagi netizen.
Sebelum ini, Sam juga sempat dihujani kecaman apabila dikatakan cuma masuk campur urusan rumah tanggan adik-beradik isterinya, Syatilla Melvin. – KOSMO! ONLINE
















