Anwar hadir ke Sambutan Deepavali Peringkat Kebangsaan di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini. Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Amanah saya sebagai Perdana Menteri membela nasib rakyat – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Saya tegaskan bahawa amanah saya sebagai Perdana Menteri ialah membela setiap rakyat Malaysia.”

Demikian penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran terbaharu di Facebook rasmi beliau sebentar tadi.

Menurut Anwar, peranan membela nasib rakyat di negara ini perlu dilaksanakan tanpa mengira kaum dan agama, selaras dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Perlembagaan bukan sahaja menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak, malah menjamin hak setiap rakyat.

“Atas landasan yang sama, kita wajib menjamin hak setiap rakyat dan memastikan semua berpeluang menikmati kemakmuran negara,” katanya.

Terdahulu, Anwar menghadiri Sambutan Deepavali Peringkat Kebangsaan di Brickfields, Kuala Lumpur selepas mengadakan kunjungan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Depot.

Dalam hantaran sama, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak berdiam diri apabila sentimen perkauman digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, cahaya Kuthu Vilakku yang menjadi simbol perayaan Deepavali membawa peringatan supaya masyarakat berani menegakkan kebenaran serta mempertahankan amanah.

“Kita mesti berani bersuara apabila sentimen kaum digunakan untuk mengalih perhatian daripada rasuah. Apabila kuasa disalahgunakan untuk memperkayakan diri dan keluarga, rakyat tetap menanggung akibatnya tanpa mengira kaum,” katanya.

Mengulas mengenai usaha membela masyarakat India, Anwar mengakui masih terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian, termasuk aspek pendidikan, sekolah Tamil, rumah ibadat Hindu serta peluang kepada peniaga kecil.

Beliau turut menegaskan kepentingan membantu keluarga yang berdepan kesukaran hidup dan kemiskinan, sama ada di kawasan bandar mahupun estet.

“Saya gembira melihat rakyat pelbagai kaum dan agama duduk semeja dan beramah mesra seperti keluarga.

“Moga semangat saling menghormati yang kita rasai di Brickfields terus kita pelihara dalam kehidupan seharian. Deepavali Nalvazhthukkal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN