Gambar hiasan

Operasi AKPS tidak terjejas kerana status Ketua Pengarah – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMUT – Operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di seluruh negara berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan keputusan mengembalikan Ketua Pengarahnya ke organisasi asal, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, memandangkan pegawai berkenaan berstatus pinjaman daripada pasukan polis, urusan pentadbiran selanjutnya diserahkan kepada agensi berkaitan sementara pelantikan pengganti belum dibuat ketika ini.

“Kita belum sampai ke tahap itu (melantik Ketua Pengarah AKPS) lagi, biar selesai satu-satu dulu. Tetapi, saya beri jaminan operasi AKPS tidak terjejas kerana agensi itu penting.

“Jadi, tidak boleh kerana Ketua Pengarahnya terlibat (pertukaran), seluruh organisasi itu terhenti. Tidak boleh macam itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Kita (PMK) serta Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Tahun 2026 di Kampung Sungai Tiram, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan status Ketua Pengarah AKPS setakat ini dan jangkaan masa jawatan itu akan diisi.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman telah diarahkan supaya memberikan perhatian khusus terhadap pengurusan agensi itu, manakala sebarang proses mahkamah dibiarkan berjalan mengikut lunas undang-undang.

Saifuddin Nasution berkata, laporan lapangan membuktikan bahawa kecekapan anggota AKPS kekal utuh apabila berjaya mematahkan beberapa cubaan penyeludupan, termasuk menahan sepasang individu yang cuba membawa sejumlah wang tunai yang besar di laluan ke Singapura, baru-baru ini.

Pada 29 Okt lepas, KDN memutuskan bahawa Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali bertugas dengan PDRM.

Sementara itu, berkaitan program hari ini, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi kerja penambahbaikan empat lokasi di bawah KAM serta RM100,000 untuk satu sekolah di bawah SAM, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM600,000. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN