MELAKA – Keputusan pertama Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dijangka diketahui selewat-lewatnya pada 9.30 malan ini, manakala keputusan rasmi bagi keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diumumkan sebelum tengah malam.
“Keputusan pertama kita boleh laporkan kepada rakyat selewat-lewatnya pada 9.30 malam dan keseluruhan keputusan kita jangka dapat dicapai sebelum 12 tengah malam,” kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim di sini hari ini.
Mengenai kadar keluar mengundi, Ramlan menyifatkan peratusan 31.07 peratus yang direkodkan setakat 11.25 pagi sebagai memberangsangkan dan yakin sasaran minimum 70 peratus pada pilihan raya kali ini mampu dicapai.
“Saya masih yakin dengan angka 70 hingga 75 peratus. Minimum 70 peratus boleh dicapai pada kali ini,” katanya sambil menyeru orang ramai supaya keluar mengundi lebih awal berikutan ramalan hujan pada sebelah petang.
Ramlan berkata, lebih 7,000 pengundi orang kurang upaya (OKU) berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat ini.
Beliau berkata pengundi wanita turut mencatatkan kadar keluar mengundi lebih tinggi berbanding lelaki berdasarkan data masa nyata yang diperoleh menerusi sistem OCR-VA SPR.
Sementara itu, Ramlan berkata sebanyak 301 kesalahan kecil pilihan raya direkodkan sehingga malam tadi, dengan kebanyakannya membabitkan pemasangan bahan kempen.
“Jumlah 301 itu saya tidak boleh kata satu angka yang rendah. Kita berharap perkara ini dapat dikurangkan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Beliau turut menghargai kerjasama orang ramai yang tampil melaporkan kesalahan pilihan raya dan memaklumkan SPR telah mengambil tindakan terhadap aduan diterima.
Menurut data SPR, sebanyak 675,166 pengundi layak menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi 28 kerusi DUN pada pilihan raya hari ini. – Bernama
















