Operasi SAR mengesan mangsa terakhir yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Sungai Luit diteruskan pagi ini. - Foto JBPM Selangor

Kepala air Sungai Luit: SAR kesan seorang lagi mangsa hilang diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Sungai Luit, Kampung Orang Asli Pertak, di sini diteruskan hari ini dengan tumpuan pencarian di sektor C dan D.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi pencarian pagi ini bermula pukul 8 pagi dengan penglibatan Unit Anjing Pengesan (K9), pasukan bot dan unit udara.

“Operasi dimulakan dengan unit K9 membuat sniff searching (pengesan bau) di sektor C untuk mendapatkan spot pencarian.

“Dan kemudian team (pasukan) bot akan membuat kaedah ‘Donat/Expanding Square’ dan surface searching (pencarian di permukaan air) di kawasan yang telah dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, unit udara turut membantu operasi menerusi penggunaan dron bagi memperluas pemantauan kawasan pencarian.

“Operasi SAR hari ini melibatkan kekuatan keseluruhan 54 anggota daripada pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Kalung dan Sapura,” katanya.

Daripada jumlah itu, seramai 29 anggota digerakkan bagi operasi pencarian sebelah pagi dengan sokongan enam bot terdiri daripada tiga bot JBPM serta masing-masing sebuah bot PBS Bukit Kalung, polis dan APM.

Bagaimanapun, beliau menambah terdapat kejadian kepala air dilaporkan berlaku sekali lagi pada pukul 1 pagi tadi, selepas kejadian pertama direkodkan pada 11 November lalu, pukul 3.30 petang.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan mayat mangsa ketujuh tragedi kepala air itu ditemukan pada pukul 3.40 petang, semalam di sektor C, sekali gus menjadikan hanya seorang daripada lapan lelaki yang dihanyutkan arus deras masih belum ditemukan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang, 9 November lalu, lapan lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan tujuh warga asing dari Yaman, Sri Lanka, Nepal serta India dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika berada di kawasan Sungai Luit berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN