WASHINGTON – Masalah yang tidak dinyatakan memaksa SpaceX milik Elon Musk membatalkan pendaratan penggalak roket terbesar dan paling berkuasa di dunia, Starship, namun berharap pihaknya masih boleh melakukan ‘tangkapan’ julung kali bagi kapal angkasa tersebut.
Starship terbahagi kepada dua bahagian iaitu penggalak di bahagian bawah dan kapal angkasa pada komponen atas.
Starship setinggi 124 meter itu berlepas ke angkasa lepas dari pangkalan Starbase di selatan Texas semalam untuk penerbangan ujian ke-15, tetapi beberapa minit kemudian, misi itu berdepan masalah.
Selepas pelancaran dan pemisahan dua peringkat di udara, isu dengan penggalak Super Heavy memaksa SpaceX mengalihkannya ke ‘pendaratan air di luar pantai’, menggagalkan rancangan penangkapan berkembar pertama bagi kedua-dua komponen roket itu.
Bebola api meletus semasa penggalak roket jatuh ke dalam Teluk Mexico berhampiran tapak pelancaran, dengan satu bahagiannya terpacak secara menegak selepas itu.
“Tidak pasti buat masa ini mengapa kami tidak dapat membawanya balik,” kata Dan Huot dari SpaceX.
Sementara itu, kapal angkasa Starship yang memberi nama kepada sistem roket berkenaan memasuki orbit Bumi, di mana ia dijangka mengelilingi dunia sebanyak 14 kali sebelum kembali ke Bumi lewat hari ini. – AFP
















