SELESA duduk di kerusi empuk seorang usahawan sukses, api seni Mila Jirin, tidak pernah padam. Kemunculannya di pentas Gegar Vaganza (GV) Fantasia menjadi semangat juangnya dalam dunia nyanyian masih menyala, masih kebal jiwanya menadah semula segala habuan kecaman umum. - SHIDDIEQIIN ZON

Buat hal lagi, minggu depan kau keluar – Mila Jirin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERTENTANG mata dengan wanita genit bernama Mila Jirin, ternyata banjaran seni di jiwanya seteguh Himalaya, masih komited dan tidak pernah mengenali erti lelah biarpun barangkali ada yang sudah melupakan judul hitnya satu ketika dahulu.

Di sela-sela kesibukan menjalani sesi fotografi, usahawan dewan kahwin itu tetap meluangkan masa membelek persiapan yang harus diperinci menjelang konsert mingguan program Gegar Vaganza (GV) Fantasia.

Sambil bersolek, matanya tekun meneliti sehelai kertas yang memuatkan bait-bait lirik lagu Pematah Hati, karya asal Nabila Razali yang bakal dipertaruhkan di pentas mingguan minggu kedua.

Ketelitian dan usaha keras itu jelas membuktikan pemilik nama lengkap Norsyarmilla Jirin itu tidak pernah mengambil mudah setiap tugasan yang diberikan.

Malah dia sentiasa meluangkan masa menilai kembali persembahannya pada minggu pertama demi memastikan kualiti vokal serta persembahan pada minggu berikutnya berada di tahap yang terbaik.

“Pada saya, di tangga berapa pun sekurang-kurangnya kita perlu ukur. Saya masih dengar balik siaran ulangan sebab kalau dalam AF kita dilatih begitu.

“Masa dalam AF, kita kena dengar apa kesilapan yang kita buat dan penambahbaikan yang kita kena buat supaya tak syok sendiri. Saya reviu balik, ambil tahu apa saya perlu menambah baik pada minggu kedua,” katanya membuka bicara kepada HibGlam.

BIAR dikecam sudah tidak relevan, Mila mahu menggunakan pentas GV Fantasia sebagai platform untuk kemunculan semula.

Lama berdiam dari dunia seni, wanita berusia 38 tahun itu bagaimanapun bersedia menghadapi kritikan daripada netizen dan tidak mudah melatah apabila berdepan dengan anasir luar yang cuba menjatuhkan semangatnya.

“Saya bersedia sebab waktu dalam industri hiburan saya dah biasa berhadapan dengan perkara macam ini, malah dalam bidang perniagaan pun.

“Saya mudah sahaja, apa sahaja input negatif saya akan teliti. Kalau ada benda yang saya perlu ambil dan cerna, saya akan lakukan.

“Kalau rasa input itu tidak sesuai untuk saya fikirkan, saya lepaskan saja.

“Kadang-kadang perkataan buruk juga boleh jadi benda positif. Itu cara saya layan kritikan,” jelasnya.

Selain itu, juara musim kelima Akademi Fantasia (AF5) itu mengakui sering memotivasikan diri sendiri dengan cara berdialog sendirian bagi membina kekuatan mental.

“Saya tidak mahu ‘overthinking’ sebab nanti takut beri impak kepada emosi.

“Kalau saya lihat sejarah saya pun dalam AF dahulu, saya selalu di kedudukan bawah.

“Saya jenis suka bercakap sendirian, ‘Buat hal lagi, minggu depan kau keluar’. Kata-kata begitu, membantu saya,” ujarnya.

Bagaimanapun, pelantun lagu Persis Mutiara itu tidak menafikan pernah menitiskan air mata apabila membaca komen negatif dalam media sosial.

“Tipulah kalau cakap langsung tak ‘down’, kita kan manusia, saya pun orang yang ‘energy absorber’.

“Kalau baca benda yang tak okey, saya pernah juga menangis dulu baca komen yang tak baik. Itu perasaan sebagai seorang manusia.

“Selepas itu, saya akan tetapkan pendirian sebab kalau kita terlalu duduk dalam emosi kita tak bergerak ke mana,” jelasnya lagi.

MILA tidak mahu hanyut dengan pujian, dia kekal memberikan fokus buat persediaan konsert GV Fantasia. – SHIDDIEQIIN ZON

Rasa menyesal

Ditanya mengenai keputusan menyepi selama sedekad, Mila percaya setiap apa yang berlaku mempunyai hikmah yang tersendiri di sebalik perjalanannya membina empayar perniagaan.

“Kadang-kadang saya rasa dah bazirkan 10 tahun tanpa keluarkan apa-apa material yang bagus tapi sejujurnya saya sangat yakin dan percaya kenapa Allah jadikan begitu.

“Mesti ada alasan, walaupun saya duduk dalam gua, bukan bererti saya tak menyanyi langsung.

“Dalam masa 10 tahun, Allah bagi saya banyak latihan. Saya banyak menyanyi di dewan kahwin, mungkin itu cara untuk melatih vokal,” kongsinya.

Mila tidak menafikan timbul rasa kesal apabila melihat rakan-rakan keluaran AF berjaya di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Saya pernah rasa menyesal, waktu saya lihat kawan-kawan di pentas AJL. Waktu itu saya menangis, memang saya tengah ‘struggle’.

“Ketika itu saya tengah buka restoran, pendapat sangatlah terhad. Dengan comotnya, sayalah cuci tandas, masak, basuh pinggan, layan pelanggan.

“Ada pelanggan yang pernah baling sudu kepada saya. Dia marah agaknya lambat sangat makanan.

“Saya pun pernah terima kata-kata sinis, macam dah tak relevan, tak laku dan sendu. Rasa macam-macam, semuanya bercampur,” ceritanya.

Namun, Mila tidak pernah menyimpan perasaan dengki terhadap kejayaan rakan seperjuangan, sebaliknya melihat kejayaan rakan-rakan sebagai pembakar semangat.

“Tengok Stacy berjaya di pentas AJL bukan cemburu tapi saya fikir apa jadi dengan saya. Saya sangat bangga melihat semua bakat AF beraksi di pentas besar.

“Beberapa bulan lepas, saya cakap pada diri sendiri. Walaupun waktu itu kita rasa sakit, sebenarnya Allah nak ajar kita rasa syukur.

“Bila saya boleh kembali ke pentas besar, apresiasi ini buat saya rasa macam masih diterima. Allah masih pinjamkan nikmat suara ini,” tuturnya.

SEDEKAD berehat, Mila mengakui pernah timbul rasa menyesal seolah-olah mempersiakan waktu apabila tidak melancarkan sebarang lagu baharu.

Orang susah

Selepas tamat konsert minggu pertama baru-baru ini, wujud segelintir pihak membuka aib atau kisah buruk peserta GV Fantasia.

Sempat penulis bertanyakan kepada Mila sekiranya terpalit perkara sama, ibu anak satu itu hanya berpegang prinsip mahu memberikan terbaik dalam karier nyanyiannya.

“Saya seorang yang ‘simple’, tak pernah takut dengan manusia tapi saya takut dengan Allah.

“Saya buat semua benda ini dengan niat nak buat kemunculan semula dan hargai semua orang yang menghargai saya.

“Apa benda yang berlaku mesti ada cara Allah nak bantu saya. Saya tak nak fikir mendalam tentang isu ini.

“Saya selalu ambil semua benda sebagai positif, saya memang dilatih begitu sejak kecil sebab dilahirkan dalam keluarga yang susah,” luahnya.

Tambahnya, fasa kehidupan serba kekurangan mengajarnya erti ketahanan mental yang tinggi.

SEDIKIT berfalsafah, Mila mengibaratkan tubuh manusia seperti pohon, perlukan air ‘kotor’ untuk tumbuh rimbun, tanpa kritikan seseorang mungkin hanya akan hidup di awang-awangan tak berpijak di bumi nyata.

Air kotor

“Bila jadi anak orang susah banyak kata-kata tak seronok macam ‘beli beras timbang kilo, makanan harian telur, teman ayah menjala ikan atau ayah tiada kenderaan terpaksa meminjam’.

“Kata-kata hinaan ini saya selalu dengar tapi Allah letakkan saya di situ mungkin nak mengajar saya macam mana nak sekat diri.

“Saya selalu letak dalam diri, saya jadikan kata-kata tak baik tak ubah macam air ‘kotor’ untuk saya siram jadi lebih bagus,” jelasnya.

Mila bahkan mendedikasikan kata-kata semangat agar sesiapa pun tidak mudah patah semangat apabila berdepan kritikan pedas, sebaliknya melihat setiap kecaman sebagai lonjakan untuk semakin matang dalam kehidupan.

“Untuk semua peserta atau yang membaca artikel ini, kalau emosi ‘down’ bila dikritik, ingatlah kita sepeti pokok yang mahu tumbuh rimbun.

“Kita perlukan air kotor, kalau sentiasa kena puji kita akan terbang di awan-awangan,” katanya.

Menyedari menerima banyak pujian sewaktu konsert minggu pertama, Mila memilih langkah bijak menetapkan batas agar fokus utama di gelanggang pertandingan tidak terganggu.

“Saya baca Threads, banyak orang puji tapi ada satu masa saya perlu hentikan dan fokus kerana risau terbawa-bawa sampai tak hafal lirik.

“Saya letakkan had, macam komen negatif. Saya kena baca supaya otak kita meresap bahawa orang tak suka kita buat begitu, begini.

“Pada akhirnya kita yang kena sajikan kepada umum yang menonton. “Mungkin ada kata-kata kita tak betul atau mimik muka yang tidak sepatutnya, jadi saya perlu perbaiki,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN