SELEPAS sekian lama merahsiakan wajah cahaya mata mereka, pasangan selebriti Bollywood, Katrina Kaif dan Vicky Kaushal akhirnya berkongsi foto penuh anak lelaki mereka, Vihaan Kaushal.
Perkongsian istimewa itu dibuat menerusi Instagram sempena sambutan perayaan Diwali, sekali gus mengundang keterujaan peminat yang sekian lama menantikan wajah si kecil itu.
“Sambutan Diwali kami yang paling bersinar. Semoga kalian sentiasa gembira dan dilimpahi cinta pada hari penuh cahaya ini,” tulis Katrina pada kapsyen.
Menerusi foto tersebut, Katrina dan Vicky dilihat duduk mengapit Vihaan yang berada di tengah-tengah mereka. Senyuman ceria si kecil sambil menghulurkan kedua-dua tangan ke arah kamera turut mencuri perhatian.
Rata-rata peminat teruja melihat wajah Vihaan, malah ada yang menyifatkan senyumannya mirip ibunya.
Katrina dan Vicky menyambut kelahiran anak sulung mereka pada 7 November 2025 sebelum mengumumkan nama Vihaan menerusi Instagram pada Januari 2026.
Nama tersebut turut mempunyai kaitan istimewa dengan Vicky yang pernah membawakan watak Major Vihaan Singh Shergill dalam filem Uri: The Surgical Strike.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 Disember 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Six Senses Fort Barwara, Rajasthan.
















