Pasangan suami isteri dianjurkan berdoa agar dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. - Gambar hiasan

Anak sulung perempuan bawa keberkatan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENARKAH hadis menyebut bahawa wanita yang mendapat anak sulung perempuan akan memperoleh keberkatan? Adakah keluarga yang mendapat anak sulung lelaki tidak mendapat keberkatan? Mohon penjelasan.

JAWAPAN: Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.
Anak merupakan anugerah dan rezeki daripada Allah SWT tanpa mengira jantina.

Terdapat satu riwayat yang menyebut: “Antara keberkatan wanita ialah memulakan kelahirannya dengan anak perempuan”.
Riwayat itu sering dikaitkan dengan kelebihan mendapat anak sulung perempuan.

Bagaimanapun, berdasarkan penelitian terhadap sumber hadis, riwayat berkenaan didapati tidak sahih.

Malah, ia dinilai sebagai palsu oleh sebahagian ulama hadis.

Al-‘Ajluni menukilkan penilaian Imam al-Suyuti yang menyatakan riwayat itu tidak sahih, manakala Ibn al-Jauzi pula menghukumnya sebagai hadis palsu.

Justeru, riwayat berkenaan tidak boleh dijadikan sandaran untuk mengatakan anak sulung perempuan membawa keberkatan lebih besar berbanding anak sulung lelaki.

Hakikatnya, kehadiran anak sama ada lelaki mahupun perempuan tetap merupakan kurniaan Allah SWT yang membawa kebahagiaan dan ketenangan kepada sesebuah keluarga.

Sehubungan itu, pasangan suami isteri dianjurkan berdoa agar dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan, ayat 74: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati.”

Kesimpulannya, tidak benar untuk mengaitkan keberkatan sesebuah keluarga dengan jantina anak sulung berdasarkan riwayat berkenaan.

Sebaliknya, setiap anak wajar disyukuri sebagai amanah dan anugerah daripada Allah SWT.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN