SINGAPURA – Wanita yang disyaki menjadi pengintip China dalam skandal cip AI Nvidia, Alice Huang dilarang memasuki semula Singapura pada Februari lalu kerana memberikan maklumat tidak tepat berhubung siasatan terhadap Megaspeed, kata kerajaan Singapura semalam.
Alice yang merupakan bekas eksekutif syarikat berpusat di Singapura itu ‘disiasat kerana disyaki terlibat’ dalam pengisytiharan palsu oleh syarikat-syarikat teknologi mengenai pembelian peranti pelayan mengandungi cip AI canggih Nvidia, kata Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
“Alice Huang memberikan maklumat yang dia sendiri ketahui sebagai tidak tepat untuk menutup peranannya dalam Megaspeed”, kata kementerian itu sambil menambah, terdapat ‘bukti tidak mencukupi’ dia melakukan kesalahan berhubung ‘pengisytiharan yang tidak tepat’.
“Dia telah diberi amaran keras dan dilarang daripada memasuki semula negara ini,” tambah kementerian sama.
Kementerian itu menyatakan, Alice tidak berpusat di Singapura dan ‘tidak disiasat untuk kesalahan intipan/perisikan’.
Pihak berkuasa Singapura memulakan siasatan ke atas Megaspeed dan syarikat-syarikat lain pada Februari 2025.
Menurutnya, peranti pelayan mengandungi cip tersebut dieksport melalui Singapura ke Malaysia dan disyaki dihantar ke destinasi lain, bertentangan dengan pengisytiharan dibuat di Singapura.
Megaspeed telah menarik perhatian dan penelitian global sejak beberapa hari kebelakangan ini selepas pengasas bersama Nvidia, Jensen Huang mengaku mempunyai hubungan sulit, dipercayai dengan Alice Huang, yang disyaki Amerika Syarikat sebagai aset perisikan China.
Pendedahan itu menimbulkan kebimbangan bahawa cip termaju Nvidia yang dibeli oleh Megaspeed, mungkin diilencongkan ke China, sekali gus mengatasi sekatan eksport Amerika Syarikat yang diwujudkan untuk menghalang Beijing daripada memperoleh teknologi tersebut.
Jensen Huang meletakkan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif Nvidian semalam. – AFP
















