fbpx
Floor 88 akhirnya merealisasikan impian mengadakan konsert solo menerusi DASAWARSA di The Theatre at Mediacorp, Singapura, pada 31 Oktober lalu.

Floor 88 realisasi impian, gegar pentas Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selepas sedekad mengharungi pelbagai cabaran dalam industri muzik, kumpulan Floor 88 akhirnya merealisasikan impian mengadakan konsert solo menerusi DASAWARSA di The Theatre at Mediacorp, Singapura, pada 31 Oktober lalu.

Konsert anjuran Boomz Entertainment itu menjadi satu lagi pencapaian penting buat kumpulan berkenaan apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 1,500 penonton di pentas antarabangsa.

Sepanjang persembahan, Floor 88 menghiburkan peminat menerusi rangkaian lagu popular mereka termasuk Aqilah, Chikadun dan 24434.

Kemeriahan diteruskan dengan lagu F, Ku Ingin, Original Sabahan dan Kong Kali Kong sebelum penyanyi dan pelakon, Joey Daud, tampil sebagai artis jemputan.

Joey menghiburkan penonton menerusi lagu Sedikit Lebih Lama, Kejoraku Bersatu dan Beradu Suratan, selain bergabung dengan Floor 88 menyampaikan lagu Srikandi Cintaku.

Antara lagu lain yang turut dipersembahkan ialah Bukan Milikku, Cincin, Yang Benar, Roadblock Hatiku, Zalikha dan Hutang.

Konsert berkenaan diakhiri dengan lagu Sahabat yang mencerminkan nilai persahabatan dan kebersamaan anggota kumpulan itu sepanjang 10 tahun perjalanan seni mereka.

Sementara itu, kemunculan Joey sebagai artis jemputan turut menjadi antara momen istimewa apabila dia kembali ke dunia nyanyian selepas hampir 20 tahun meninggalkan bidang tersebut.

Lebih bermakna, persembahan di Singapura itu merupakan pengalaman pertama Joey menyanyi di hadapan kira-kira 1,500 penonton di pentas luar negara.

Kepulangannya ke pentas nyanyian menerusi konsert DASAWARSA dilihat sebagai langkah untuk menghidupkan semula minatnya terhadap bidang muzik yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan seni.

Secara keseluruhan, DASAWARSA bukan sahaja menandakan pencapaian sedekad Floor 88 dalam industri muzik, malah menjadi ruang buat Joey mengembalikan langkahnya sebagai penyanyi selepas hampir dua dekad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN