PETALING JAYA – Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mengakui malu dengan sikap segelintir rakan artis yang mengeluarkan kenyataan kurang sensitif sehingga menyentuh isu perayaan agama lain.
Tidak menyatakan nama mana-mana selebriti, Fazley, 48, berkata, setiap individu yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat seperti golongan selebriti perlu lebih berhati-hati ketika menyuarakan pendapat terutama apabila melibatkan perkara berkaitan kepercayaan dan amalan penganut agama lain.
“Bila ramai cakap artis dan selebriti tidak berapa cerdik, memang ramai yang tidak gembira.
“Tetapi bila ada rakan industri kita yang dikenali ramai tetapi membuat hantaran seolah-olah hidup dalam negara yang hanya ada dua orang sahaja, saya sendiri berasa malu membaca kenyataan tersebut,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Tambahnya, pengalaman membesar di luar negara memberinya peluang untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat berlainan latar belakang menjalani kehidupan secara harmoni.
“Saya dahulu membesar di Los Angeles, Amerika Syarikat turut serta bersama jiran-jiran mengetuk pintu meminta gula-gula sambil memakai baju Batman.
“Saya juga pernah duduk di atas paha pakcik berbangsa Afrika-Amerika kerana dia mahu memberi hadiah Krismas, selain menyertai aktiviti mencari coklat telur Easter di sekolah.
“Namun, apabila pulang ke Malaysia, saya masih tetap menikmati makanan tradisi seperti budu dan tempoyak,” katanya lagi.
Fazley turut mengingatkan bahawa pemilihan kata-kata ketika berkongsi mengenai isu sensitif dalam media sosial perlu diberikan perhatian agar tidak mencetuskan salah faham.
“Bertenang semua, isunya bukanlah soal menyambut perayaan tersebut.
“Isu sebenarnya adalah memberi pandangan yang kurang sensitif mengenai agama lain dengan penggunaan perkataan yang tidak manis,” ujarnya.
Semalam, media sosial kecoh selepas pelakon Zahirah MacWilson mempersoalkan beberapa amalan ketika sambutan perayaan berkenaan, termasuk kanak-kanak memakai kostum, meminta gula-gula atau coklat serta duduk di atas pangkuan lelaki lebih berusia.
Menerima kecaman ramai, Zahirah memohon maaf selepas hantaran media sosialnya mengenai sambutan perayaan tertentu mengundang kecaman, selain mengakui masih dalam proses mendalami ilmu berkaitan agama dan kepercayaan.
Ujar Zahirah, dia tidak berniat menyinggung perasaan atau memperlekeh kepercayaan mana-mana pihak. – KOSMO! ONLINE
















