fbpx
Anak kelahiran Lawas, Sarawak ini aktif dalam aktiviti kepimpinan, dakwah dan kemanusiaan.

Azam terajui program impak tinggi, mahu jadi pakar psikologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERPEGANG teguh kepada hadis sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain, Muhamad Azamuddin Mohamad Ali, 24, aktif dalam aktiviti kepimpinan, dakwah, misi kemanusiaan dan kesukarelawanan sejak tahun satu pengajian di Universiti Malaya (UM).

Pemuda berasal dari Kampung Punang, Lawas, Sarawak itu sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi menabur bakti kepada masyarakat.

Bidang penglibatan dan minatnya meliputi dakwah, pendidikan kanak-kanak, pembangunan belia, kecerdasan emosi, inovasi pendidikan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti.

“Apa yang saya lakukan ini juga sangat rapat dengan pengajian yang saya ambil ketika ini iaitu Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Dakwah dan Pembangunan Insan) di Akademi Pengajian Islam, UM.

“Fokus pengajian saya adalah dakwah dan pembangunan insan, jadi aktiviti-aktiviti yang saya sertai bersama masyarakat merupakan satu bentuk praktikal yang diaplikasikan terus di luar bilik kuliah.

“Keunikan dalam bidang pengajian ini adalah saya dapat belajar dakwah itu dalam pelbagai aspek dan mengaplikasikan dalam pelbagai segmen masyarakat,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Azam menerima pelbagai anugerah di atas sumbangan jasanya kepada ummah, antaranya Top 12 finalis untuk Anugerah Pelajaran Diraja dan Hadiah Alumni UM,

Anugerah Pembangunan Insan, Anugerah Program Berimpak Tinggi, Anugerah Komitmen Terbilang serta Anugerah Ikon Lajnah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam UM.

Kebolehannya dalam memimpin juga membuatkan Azam dilantik dalam pelbagai jawatan penting seperti Presiden Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan (LDPI),

Setiausaha Agung Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (Sekrum), Ketua Exco Kebajikan dan Kesukarelawanan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) serta Ketua Kesukarelawanan dan Kebolehpasaran Persatuan Belia Islam Universiti Malaya (Pembina).

Dalam kepimpinan tersebut, dia menerajui pelbagai inisiatif melalui kolaborasi bersama 11 entiti yang melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti, di samping terlibat lebih 12 projek kesukarelawanan dan misi kemanusiaan di seluruh negara.

Dalam bidang dakwah dan pembangunan komuniti, Azam pernah menerajui program Young Da’wah Ambassador di sekolah-sekolah serta menjadi Pengarah bagi Program Student Educational Expedition for The Palauh People di Semporna, Sabah.

Kedua-dua program ini telah dianugerahkan oleh Dekan Akademi Pengajian Islam UM sebagai Program Berimpak Tinggi bagi 2024 dan 2025. Program tersebut turut mendapat perhatian serta liputan media arus perdana.

Memperincikan lanjut dua program berimpak tinggi itu, Azam berkata, Young Da’wah Ambassador tercetus hasil perbincangannya bersama rakan-rakan sekuliah dan mereka melaksanakannya di sekolah pertama du Pahang pada 2023.

“Saya bersama rakan-rakan seramai 30 orang mengadakan siri pertama di sebuah sekolah berasrama penuh di Pahang melibatkan 300 orang pelajar.

“Program yang berlangsung tiga hari dua malam itu mendapat maklum balas yang sangat luar biasa oleh guru dan pelajar sehingga kami dilantik sebagai tenaga pengajar atau jurulatih bagi program motivasi di sekolah berkenaan.

“Lebih membanggakan, program Young Da’wah Ambassador kemudiannya dijenamakan menjadi NGO yang mana program ini diperluas kepada lebih 20 buah sekolah dari peringkat pendidikan awal kanak-kanak sehingga sekolah menengah,” jelasnya sambil memberitahu NGO tersebut dijalankan bersama rakan-rakan pelajar dan pensyarah Akademi Pengajian Islam, UM.

Mengulas mengenai Program Student Educational Expedition for The Palauh People pula, Azam memberitahu, acara itu diadakan di Kampung Bangau-Bangau membabitkan kanak-kanak dan remaja tanpa kerakyatan (stateless).

“Program ini anjuran fakulti saya yang diadakan secara bersiri dan memilih Kampung Bangau-Bangau dengan menampilkan kelainan iaitu mengetengah permainan interaktif untuk kemahiran asas membaca, menulis, mengira (3M) di samping membaca al-Quran.

“Saya bersama 15 orang ahli kumpulan berada di sana selama lima hari empat malam berpeluang mendekati masyarakat Palauh dan menyelami keperitan hidup mereka terutama keterbatasan akses pendidikan kerana status mereka tanpa kerakyatan,” katanya.

Tambahnya, di kampung tersebut hanya ada sekolah alternatif, jadi dia bersama pasukannya cuba membantu memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak dan remaja di sana.

“Pengalaman yang saya tidak boleh lupakan adalah ketika membuat ucapan penutup program ini, saya secara spontan bertanyakan kepada mereka apakah yang dapat mengubah hidup mereka pada masa hadapan? Alangkah terkejutnya mereka menjawab pendidikan,” ujarnya yang tidak mampu menahan air mata.

Kesinambungan daripada program itu, Azam mengangkat isu tersebut dalam projek tahun akhirnya yang bertajuk Cabaran Tenaga Pengajar dalam Berhadapan Kanak-kanak Tanpa Kerakyatan di Sekolah Alternatif Semporna Sabah.

AZAM bergambar dengan sekumpulan kanak-kanak di Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah semasa memimpin misi dakwah pada Program Student Educational Expedition for The Palauh People.

Bukan itu sahaja, Azam juga membuat penulisan mengenai realiti kehidupan masyarakat Palauh dan diterbitkan di media sehingga mendapat perhatian pihak kerajaan dan menjadi rujukan dalam usaha mencari penyelesaian kepada isu ini.

Tidak terhenti di situ, Azam juga mencetuskan satu lagi program berimpak besar iaitu Dakwah Talk yang mana dia sebagai pengarah program telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Program tersebut memberi peluang kepada pensyarah dan mahasiswa memberikan pandangan melalui platform radio JAWI tentang isu semasa, keperluan dakwah dalam kalangan remaja dan cadangan penyelesaian.

Sementara itu, pada tahun lalu, Azam turut dijemput di peringkat antarabangsa sebagai panel dalam International Da’wah Dialogue Forum: Dakwah Movement: Sharing, Learning, Growing anjuran Fakultas Dakwah, Universitas Islam Bandung, Indonesia.

“Dalam sesi perkongsian tersebut, saya ketengahkan kepelbagaian ruang dan kaedah dakwah yang boleh dimanfaatkan mengikut keperluan serta latar belakang sasaran.

“Dakwah tidak seharusnya terhad kepada kelompok masyarakat yang lazim didekati, sebaliknya boleh dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan, termasuk dakwah digital, penulisan, kaunseling, media kreatif dan lain-lain,” katanya.

Walaupun sibuk dengan aktiviti dakwah, kepimpinan dan misi kemanusiaan, Azam tidak pernah melupakan tanggungjawab utamanya sebagai pelajar dan sentiasa cemerlang dalam pelajaran dengan menerima anugerah dekan setiap semester.

“Saya sangat minat subjek dakwah, jadi selepas saja kelas saya akan implimentasikan dalam kehidupan dan menjadikanya sebagai isu perbualan dengan rakan-rakan.

“Strategi lain yang saya lakukan adalah dari awal semester lagi saya sudah rancang setiap subjek dan kursus itu untuk memenuhi penilaian pensyarah,” katanya.

Bakal bergraduasi pada majlis konvokesyen di UM bulan ini, kongsi Azam, impiannya adalah untuk menjadi seorang pakar psikologi.

Azam juga kini menyiapkan proposal untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) secara fast track.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN