fbpx
PENGUAT kuasa memeriksa tahap voltan elektrik dikenakan ke atas ayam sebelum disembelih di Kampung Seri Aman Hilir, Puchong semalam.

Ayam direnjat: Wajibkan sijil halal, elak pengguna telan ‘bangkai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Semua pusat penyembelihan ayam di negara ini diwajibkan memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan bekalan ayam kepada pengguna, khususnya umat Islam, terjamin status halalnya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian ayam rendam yang didakwa tidak di­sembelih mengikut syariat Islam daripada terus berulang.

Kata beliau, pemborong, pengedar dan pembekal ayam juga perlu memastikan bekalan diperoleh hanya daripada pusat penyembelihan yang mempunyai pensijilan halal Jakim.

“Kita sebagai pengguna tidak dapat menerima isu ayam rendam ini kerana sangat mengharapkan makanan dimakan diyakini halal dan melalui proses yang betul.

“Apabila ayam direndam tanpa disembelih, ia seolah-olah menyebabkan pengguna Islam memakan bangkai. Kita harap perkara seperti ini tidak berulang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Tambahnya, kerajaan juga perlu memperluaskan pensijilan halal kepada industri pe­nyembelihan ayam bagi memastikan setiap proses dilakukan mengikut syarak.

Katanya, pemeriksaan juga perlu diperketatkan terhadap premis pengedar dan pemborong ayam bagi mengenal pasti sumber bekalan serta pusat penyembelihan yang membekalkan ayam kepada mereka.

“Pihak berwajib perlu memeriksa premis pengedar ayam dan mendapat bekalan ayam dari mana. Di manakah pusat pe­nyembelihan ayam tersebut.

“Kita mahu satu pangkalan data berpusat diwujudkan bagi merekodkan pusat penyembelihan dan sumber bekalan ayam supaya pihak berkuasa boleh menjalankan pemeriksaan secara berkala,” ujarnya.

Yusrizal berkata, pemantauan tidak seharusnya hanya dilakukan selepas menerima aduan kerana pengguna sukar mengetahui proses penyembelihan yang berlaku di pusat ber­kenaan terutama premis yang beroperasi secara tertutup.

Pada masa sama, beliau menggesa pihak berkuasa memperketatkan pemantauan terhadap ayam import terma­suk ayam sejuk beku dan ayam mentah bagi memastikan sumber serta proses penyembelihannya mematuhi syariat Islam dan mempunyai pengesahan halal diiktiraf.

Ujarnya, garis panduan peng­operasian pusat penyem­belihan juga perlu diberi perhatian termasuk pematuhan prosedur penyembelihan, kebersihan, pengendalian dan penyimpanan ayam bagi menjamin keselamatan serta keya­kinan pengguna. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN