fbpx
MARQUEZ berjaya menawan saingan GP Malaysia di Litar Sepang semalam untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu bagi mempertahankan kejuaraan dunia.

MotoGP: Marquez makin perkukuh posisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Marc Marquez semakin hampir untuk menjulang gelaran dunia MotoGP selepas melakar kemenangan bergaya pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di puncak kejuaraan.

Memulakan perlumbaan dari petak kedua, pelumba Ducati  itu tidak menunggu lama untuk merampas kedudukan pendahulu daripada adiknya, Alex Marquez yang bermula di petak utama seawal pusingan pertama.

Sebaik sahaja berada di depan, juara dunia tujuh kali itu terus memacu jenteranya dengan konsisten untuk mengawal perlumbaan sehingga melintasi garisan penamat bagi meraih 25 mata maksimum.

Sementara itu, Pedro Acosta menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Alex Marquez terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga selepas gagal mengekalkan kelebihan petak utama yang diraihnya ketika sesi kelayakan.

Lebih bermakna, kejayaan itu hadir ketika pencabar terdekatnya, Jorge Martin tidak beraksi di Sepang susulan kecederaan, sekali gus membolehkan Marquez melebarkan jurang mata dalam perebutan kejuaraan dunia.

“Saya kekal fokus sepanjang hujung minggu ini. Sejak FP1, saya turun ke litar dengan pendekatan terbaik dan cuba mencari had kemampuan ketika sesi latihan kerana seperti yang saya katakan, inilah masanya untuk mengambil risiko.

“Kami berjaya mengharungi perlumbaan yang sempurna. Jadi, saya sangat gembira dengan kemenangan yang kami capai hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, pelumba Sepanyol itu menegaskan dia tidak akan mengubah pendekatan meskipun semakin hampir dengan gelaran dunia, sebaliknya mahu terus mengekalkan fokus dan memberikan tekanan sehingga baki perlumbaan musim ini berakhir.

“Mentaliti saya masih tidak boleh berubah. Saya perlu terus fokus dan memberikan tekanan. Tidak banyak perlumbaan yang tinggal, tetapi masih banyak perkara yang perlu dilalui. Jadi, kami perlu kekal memberikan tumpuan sepenuhnya,” tambahnya.

Keputusan di Sepang meletakkan Marquez dalam kedudukan cukup selesa untuk memburu gelaran dunia, namun dia masih perlu mengharungi baki saingan musim ini sebelum kejuaraan dapat disahkan secara rasmi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN