fbpx
KEADAAN Perodua Alza remuk dihempap lori dalam kemalangan di Kilometer 8.5, Jalan Yong Peng-Muar berhampiran Kampung Bukit Sri Wangi, Batu Pahat hari ini. (Gambar kecil: Mohd Hardi dan Tengku Syafirana)

[KEMAS KINI] Tayar lori pecah punca nahas ragut nyawa suami isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Tayar lori pecah dipercayai menjadi punca kemalangan yang mengorbankan pasangan suami isteri di Kilometer 8.5 Jalan Yong Peng-Muar berhampiran Kampung Bukit Sri Wangi di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku ketika pasangan itu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza bersama dua kanak-kanak berusia lapan dan 11 tahun dari arah Yong Peng menuju Parit Sulong.

Menurutnya, sebuah lori 10 tan membawa muatan tar yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan selepas salah satu tayarnya pecah.

“Lori berkenaan kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh MPV dinaiki keluarga itu. Pemandu dan isterinya mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dua kanak-kanak yang turut berada dalam kenderaan itu mengalami kecederaan serta melecur di beberapa bahagian badan, manakala pemandu lori cedera di mata kanan dan mengalami pendarahan pada paru-paru kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat dan rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, adik mangsa, Muhammad Ihsan, 30, berkata, abangnya, Mohd Hardi Mohd Husin, 46, bersama isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44, dalam perjalanan pulang selepas membeli barang keperluan dapur di Yong Peng.

“Jenazah abang dan kakak ipar dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Maimon lewat malam ini. Dua kanak-kanak itu kini sudah menjadi yatim piatu dan kami sekeluarga merancang untuk menjaga mereka,” katanya. –  KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN