fbpx
Pusat sembelihan ayam di Puchong yang dipercayai membekalkan 'ayam bangkai' kepada pengguna. Foto oleh ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

Sumber makanan umat Islam tidak boleh dikompromi demi keuntungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kesucian makanan umat Islam tidak boleh dikompromi demi keuntungan perniagaan, sebaliknya setiap pengusaha wajib memastikan proses penyembelihan dan pemprosesan mematuhi hukum syarak.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, isu sebuah pusat sembelihan ayam di Puchong yang disyaki melakukan proses penyembelihan tidak mengikut hukum syarak perlu dipandang serius kerana membabitkan kepercayaan dan hak pengguna Islam mendapatkan makanan halal.

Menurutnya, pendedahan bahawa ayam dipercayai mati akibat kejutan elektrik sebelum disembelih amat membimbangkan dan perlu disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.

“Pendirian kami jelas. Kesucian makanan umat Islam tidak boleh dikompromi demi keuntungan.

“Identiti Muslim seseorang pengusaha bukan jaminan pematuhan halal, apatah lagi alasan untuk terlepas daripada pengawasan dan tindakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Dewan Pemuda Pas Selangor menyokong ketegasan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta tindakan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama agensi berkaitan dalam menangani isu berkenaan.

Katanya, siasatan perlu meliputi keseluruhan rantaian bekalan termasuk pusat sembelihan dan premis jualan bagi memastikan tiada pihak yang terlibat terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan juga perlu dikenakan tindakan tegas tanpa pilih kasih,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa pengusaha restoran yang menerima bekalan daripada premis terbabit supaya segera menghentikan penggunaannya dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Pengguna turut disaran menyemak sumber bekalan makanan serta menyalurkan maklumat berkaitan kepada JAIS, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN