SEPANG – Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berpuas hati dengan kebangkitan dipamerkan Hakim Danish Ramli yang berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat pada Grand Prix (GP) Malaysia, sekali gus menebus kekecewaan selepas gagal memberi saingan di kelompok hadapan dalam perlumbaan sebelum ini.
Meskipun terlepas peluang menaiki podium di Sepang, Zulfahmi tetap berbangga dengan corak tunggangan bertenaga anak didiknya itu yang membuktikan kematangan untuk kembali kompetitif dalam kelas Moto3.
Hakim Danish yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI, terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat selepas percubaannya memintas pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe di selekoh terakhir tidak kesampaian, manakala pelumba Indonesia, Veda Pratama (Honda Team Asia) selesa di tempat kedua.
Pelumba muda negara berusia 19 tahun itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 4.410 saat (s) di belakang juara dunia dari CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles yang mengungguli perlumbaan.
Mengulas mengenai persembahan pelumbanya, Zulfahmi berkata aspek paling positif adalah keupayaan Hakim Danish mengawal emosi dan mengekalkan rentak sejak awal perlumbaan, berbeza ketika berdepan aksi suram di Phillip Island, Australia, minggu lalu dan juga di Indonesia.
“Secara keseluruhan, minggu ini Hakim Danish dapat mengawal emosi dan prestasinya dengan baik. Dari awal sehingga tamat perlumbaan, kita dapat lihat dia berada dalam kedudukan yang kompetitif dan saya yakin dia boleh bersaing untuk kedudukan podium.
“Dia terlepas podium kerana tidak berjaya memintas Carpe atau Veda. Apapun, saya tetap berbangga dengan prestasi Hakim Danish dan saya percaya semua yang datang hari ini betul-betul menikmati perlumbaan serta mempunyai perasaan yang sama seperti saya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Mengulas lanjut, Zulfahmi menegaskan bahawa kedudukan keempat di laman sendiri adalah satu pencapaian yang wajar dipuji, terutama melihat kepada jurang prestasi yang jauh lebih baik berbanding perlumbaan terdahulu.
“Saya sangat berpuas hati. Sudah semestinya kita mahukan podium itu, tetapi kalau rezeki tidak memihak kepada kita, tidak mengapa. Yang paling penting, pasukan gembira dengan keseluruhan prestasi dan Hakim Danish sendiri berpuas hati dengan persembahannya.
“Sudah tentu podium akan menjadi lebih baik, tetapi P4 pun saya rasa adalah kedudukan yang baik berbanding jika imbas kembali prestasi kita di Phillip Island tujuh hari lalu. Perjalanan Danish masih lagi jauh dan kita perlu terus memberikan sokongan penuh kepadanya,” tambah Zulfahmi.
















