KUALA SELANGOR – Sebuah sekolah agama swasta di Tanjong Karang di sini mengalami kerugian selepas premis berkenaan dipecah masuk dua lelaki awal pagi semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.45 pagi apabila suspek memecah masuk sebuah bilik di bangunan kedai yang dijadikan sekolah agama berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.30 pagi pada hari sama.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati dua lelaki yang belum dikenal pasti identiti dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
“Barang yang hilang setakat ini adalah wang tunai, namun jumlah kerugian masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular satu hantaran di laman Facebook rasmi sekolah berkenaan mengenai kejadian pecah masuk itu yang didakwa mengakibatkan kerugian dan kerosakan berjumlah RM8,000.
Hantaran tersebut turut memaparkan gambar dua suspek yang melakukan kegiatan berkenaan selain keadaan barangan di dalam sekolah yang mengalami kerosakan. – KOSMO! ONLINE
















