ISTANBUL – Microsoft semalam memaklumkan gangguan perkhidmatan Microsoft 365 di beberapa rantau berpunca daripada sejumlah pelayan yang tidak dapat berfungsi secara tiba-tiba, bukan peningkatan trafik pengguna.
Menurut laporan Anadolu Ajansi, Microsoft 365 Status dalam kemas kini terbaharu menerusi platform X memaklumkan gangguan itu menyebabkan beban tambahan kepada infrastruktur yang masih beroperasi.
“Kami mendapati peningkatan beban itu bukan disebabkan pertambahan trafik, sebaliknya berpunca daripada sejumlah pelayan yang secara tiba-tiba tidak dapat berfungsi,” katanya.
Syarikat itu menambah usaha sedang dijalankan untuk memulihkan operasi pelayan yang terjejas dengan selamat.
Gangguan itu menjejaskan akses kepada peti mel Exchange Online dan berkemungkinan perkhidmatan Microsoft 365 yang lain, dengan pengguna melaporkan masalah sambungan menerusi pelbagai kaedah akses.
Microsoft memaklumkan pihaknya menghentikan sementara semua pelaksanaan sistem, mengalihkan trafik daripada infrastruktur yang terjejas serta memulakan semula pelayan yang mengalami gangguan sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan.
Laman web pemantauan gangguan perkhidmatan Downdetector merekodkan lebih 97,000 laporan masalah melibatkan Outlook, lebih 38,000 aduan berkaitan Microsoft 365 dan kira-kira 4,500 laporan mengenai Teams di Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, jumlah sebenar pengguna yang terjejas mungkin berbeza memandangkan data Downdetector berdasarkan laporan yang dikemukakan pengguna.
Microsoft meminta pengguna merujuk laman web status perkhidmatannya dan pusat pentadbiran Microsoft 365 untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung insiden yang dikenal pasti melalui kod rujukan EX1550543 dan MO1550821.- BERNAMA-ANADOLU
















