PETALING JAYA – Pengorbanan seorang bapa meredah air banjir sambil mendukung anaknya di bahu demi memastikan kanak-kanak itu dapat ke sekolah mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial.
Kejadian dipercayai berlaku di Kampung Melayu Subang, Selangor yang sekali lagi dilanda banjir susulan hujan lebat, pagi tadi.
Menerusi rakaman video tular di Threads, kelihatan seorang lelaki memakai topi keledar berwarna kuning mendukung seorang kanak-kanak berpakaian sekolah sambil meredah air banjir yang mencecah paras lututnya.
Lelaki berkenaan turut dilihat membawa sebuah beg berwarna merah ketika berjalan perlahan-lahan mengharungi air keruh di kawasan perumahan yang dinaiki banjir.
Rakaman itu turut memperlihatkan beberapa rumah ditenggelami air sehingga memenuhi kawasan halaman dan anjung kediaman.
Video berkenaan dikongsikan pengguna Threads @inaabdulaziz yang memaklumkan kanak-kanak tersebut merupakan muridnya dan bersyukur kerana berjaya tiba di sekolah dengan selamat.
“Cikgu terus menangis apabila tengok video ini. Alhamdulillah, awak selamat sampai ke sekolah.
“Semoga dipermudahkan segala urusan awak sekeluarga. Warga Threads, doakan semua penduduk Kampung Melayu Subang. Banjir lagi pada 11 November 2026,” tulisnya.
Perkongsian itu meraih lebih 13,400 tontonan dan mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-ratanya tersentuh melihat usaha seorang bapa memastikan pendidikan anaknya tidak terjejas meskipun berdepan bencana banjir.
Seorang pengguna @itsbintui meluahkan rasa sedih melihat kanak-kanak tersebut masih berusaha hadir ke sekolah dalam keadaan kawasan kediamannya dinaiki air.
“Ya Allah, sedihnya. Masih lagi hendak ke sekolah. Cekal dan kuat keluarga ini. Semoga Allah cepat-cepat menghadirkan matahari dan mengeringkan air banjir,” katanya.
Sementara itu, pengguna @nabilla_sayothi turut mendoakan agar segala urusan keluarga kanak-kanak tersebut dipermudahkan.
“Allahu, semoga dipermudahkan urusan keluarga ini,” katanya.
Terdahulu, beberapa kawasan kediaman di Kampung Melayu Subang dilaporkan dinaiki air susulan hujan lebat, dengan seorang penduduk mendakwa kawasan berkenaan sudah empat kali dilanda banjir sepanjang November ini.
Berdasarkan maklumat Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Damansara di Kampung Melayu Subang turut melepasi tahap bahaya apabila merekodkan bacaan 18.11 meter berbanding paras bahaya 17.4 meter setakat pukul 9 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
















