PETALING JAYA – Seorang wanita bersama anaknya berdepan detik cemas apabila sebuah kipas siling bersaiz besar dilaporkan terjatuh dan menimpa mereka ketika singgah menunaikan solat di sebuah masjid di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kejadian itu dikongsikan wanita berkenaan menerusi akaun Threads miliknya, @ismiummdhiahanawafanuh, yang meluahkan rasa syukur kerana dia dan anaknya terselamat daripada insiden tersebut.
Menurut wanita itu, kejadian berkenaan turut menyebabkan anaknya mengalami trauma sehingga kini, manakala dia sendiri masih berasa sakit pada bahagian kepala.
“Bahaya ada di mana-mana. Singgah solat di masjid KLIA. Takdir Allah saya dan anak terselamat daripada kecelakaan kipas besar masjid jatuh atas kami berdua.
“Mujur anak-anak lain waktu itu saya suruh pergi ambil wuduk. Sampai sekarang anak saya trauma ketika hendak tidur dan kepala saya masih sakit,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Wanita itu turut memuat naik beberapa keping gambar yang memperlihatkan sebuah kipas siling bersaiz besar terjatuh di atas permaidani, selain keadaan bahagian kepala anaknya selepas kejadian.
Dalam pada itu, wanita tersebut menjelaskan perkongsiannya bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mahu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai aspek keselamatan di tempat awam.
“Saya kongsikan bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, ia sebagai peringatan bersama tentang pentingnya keselamatan kemudahan di tempat awam, khususnya masjid,” ujarnya.
Meninjau ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa dua beranak itu selain mendoakan kesembuhan mereka.
“Innalillahi wainna ilaihi raji’un. Semoga cepat sembuh. Tidak dapat bayangkan trauma yang dialami,” komen @travelingasm.
“Masa singgah sini. Memang dok perati kipas ni semua. Semua bergoyang-goyang dekat atas bahagian yang lekat dekat siling,” komen @puannurul pula.
“Tak dapat bayangkan trauma macam mana, lepas ni mesti takut nak duduk bawah kipas,” komen @khusyairi. – KOSMO! ONLINE
















