Gambar hiasan

Duda cuba terjun tingkap ketika ditangkap khalwat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Seorang wanita yang belum habis edah ditangkap berkhalwat dengan seorang lelaki berstatus duda di dalam bilik sebuah rumah sewa di bandar ini semalam.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan berkata, wanita berusia 26 tahun itu ditangkap berdua-duaan dalam bilik sewa dengan seorang lelaki berusia 27 tahun ketika serbuan penguatkuasa JAINJ kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Melalui kenyataan itu, serbuan hasil maklumat orang ramai itu pada mulanya berhadapan detik cemas apabila lelaki berkenaan cuba terjun dari tingkap tingkat satu rumah sewa berkenaan, namun tidak meneruskan niatnya sebaik menyedari ada anggota penguatkuasa yang sedang menunggu di bawah.

Berikutan itu, lelaki berkenaan yang berseluar pendek dan berbaju T akur untuk membuka pintu bilik sebelum menemui seorang wanita berseluar panjang dan berbaju T.

“Hasil daripada soal siasat mendapati pasangan tersebut yang bekerja di bandar ini tiada sebarang hubungan mahram dan sudah lama berkenalan iaitu sebelum wanita berkenaan bercerai dengan suaminya.

“Pelbagai alasan diberikan termasuk akan bernikah tidak lama lagi sebagai alasan untuk mendapat simpati namun ia tidak mengubah pendirian pihak penguatkuasa mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Pasangan berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kluang mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN