MENURUT kajian kebangsaan yang diterbitkan dalam BMC Public Health pada 2023, tujuh daripada 10 wanita yang berusia 40 tahun ke atas di Malaysia berpendapat bahawa saringan kanser payudara hanya perlu dilakukan apabila gejala muncul.
Dapatan itu menunjukkan pentingnya meningkatkan kesedaran dan menggalakkan perbincangan terbuka mengenai saringan kanser payudara.
Sehubungan itu, sempena Pink October, LAC Malaysia dengan kerjasama FemFamm telah menghimpunkan 85 wanita berpakaian merah jambu di Reserve Pickle & Padel, Kota Damansara, Selangor.
Mereka berkumpul bagi menyertai sesi LAC Community yang menggabungkan perkongsian ilmu dan aktiviti fizikal.
Untuk makluman, FemFamm merupakan komuniti wanita yang menggalakkan aktiviti fizikal, pembelajaran dan hubungan sesama ahli, selain turut membawa ahlinya menyertai sesi itu.
Sesi yang dikendalikan oleh Perunding Onkologi Klinikal di Hospital Picaso, Dr. Christina Lai Nye Bing dan Pakar Perunding Nutrisi LAC Malaysia, Cynthia Jetan itu telah membincangkan bagaimana kesedaran serta pilihan kecil dalam kehidupan seharian dapat membantu wanita menjaga kesihatan dengan lebih baik.
Mesej utama yang diketengahkan sepanjang sesi itu adalah mitos mengenai rasa sihat tidak bermakna semuanya berada dalam keadaan baik.
Menurut Dr. Christina, terdapat dua salah faham yang sering dikemukakan oleh pesakit iaitu seseorang tidak berisiko jika tiada sejarah keluarga menghidap kanser payudara dan tiada masalah jika tidak mengalami kesakitan.
“Hakikatnya, kebanyakan wanita yang disahkan menghidap kanser payudara tidak mempunyai sejarah keluarga.
“Kanser payudara pada peringkat awal juga sering kali tidak menyebabkan kesakitan.
“Tiada sejarah keluarga tidak bermakna tiada risiko dan tiada kesakitan tidak bermakna tiada masalah,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan, punca ramai wanita menangguhkan usaha mendapatkan nasihat perubatan adalah kerana takut, jadual harian padat atau berharap perubahan dialami akan hilang sendirinya.
Dr. Christina menegaskan bahawa perkara-perkara itu tidak seharusnya menghalang seseorang daripada mendapatkan penilaian perubatan sewajarnya.
“Lebih awal kita mendapatkan pemeriksaan, lebih banyak pilihan rawatan yang tersedia dan lebih tinggi peluang untuk menjalani rawatan serta berjaya,” katanya.

Dari perspektif nutrisi pula, beliau menjelaskan bahawa menjaga kesihatan tidak memerlukan diet khas untuk kesihatan payudara. Justeru itu, Pink October menjadi peringatan yang baik untuk melihat kesihatan secara menyeluruh, daripada apa yang kita makan hingga tahap aktiviti fizikal dan kualiti rehat.
“Daripada terlalu memikirkan makanan perlu dielakkan, cuba fikirkan apa yang boleh ditambah kepada hidangan sudah biasa kita nikmati. Jika makan nasi campur, tambahkan satu hidangan sayur.
“Jika minum teh tarik, minum juga segelas air kosong. Kita tidak perlu mengubah keseluruhan cara makan.
“Kadangkala, membuat satu pilihan yang lebih baik pada satu-satu masa jauh lebih mudah untuk dikekalkan,” katanya.
Selepas sesi soal jawab dan kuiz interaktif mengenai mitos kanser payudara, acara diteruskan dengan sesi Pilates Pink-Lates yang dikendalikan oleh The Flow Studio.
Sesi sesuai untuk pemula dan berimpak rendah itu memberi peluang kepada peserta untuk bergerak, melegakan ketegangan serta kembali menghayati hubungan dengan tubuh sendiri.
Aktiviti itu mencerminkan mesej utama acara bahawa menjaga kesihatan juga bermakna meluangkan masa untuk diri sendiri.
Hasil yuran penyertaan bagi sesi Pilates Pink-Lates pada pagi itu yang berjumlah RM2,852.98 telah disumbangkan kepada Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA), iaitu sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan.
BCWA menyediakan sokongan rakan sebaya kepada wanita yang terjejas akibat kanser payudara serta menggalakkan pengesanan awal penyakit tersebut.
Bagi LAC Malaysia, sumbangan itu merupakan satu usaha untuk menyalurkan sokongan kepada wanita yang hidup dengan kanser payudara, sekali gus menjadikan aktiviti fizikal sebagai wadah untuk membantu komuniti memerlukan.
Menerusi sesi Pink October, LAC Malaysia terus memanfaatkan LAC Community sebagai platform untuk menyediakan pengalaman kesejahteraan yang mudah diakses.
Ini membolehkan golongan wanita mendapatkan ilmu daripada pakar dan mengambil langkah-langkah praktikal yang kecil untuk menjaga kesihatan diri.
















