fbpx
DR. KAMSIAH memiliki pengalaman hampir empat dekad dalam bidang pergigian.

Dr. Kamsiah perintis pergigian moden di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMILIKI pengalaman hampir empat dekad dalam bidang pergigian, Dr. Kamsiah Haider sentiasa menjadi rujukan ramai pesakit.

Ini kerana, beliau merupakan perintis terawal di Malaysia bagi prosedur prostodontik, implan pergigian, pergigian kosmetik dan pemulihan keseluruhan mulut, termasuk kes yang memerlukan perancangan rawatan secara terperinci.

Walaupun memasuki usia 63 tahun, namun Dr. Kamsiah masih kekal aktif melakukan perawatan gigi kompleks dan mengembangkan perniagaannya dengan menggabungkan kepakaran klinikal serta teknologi digital menerusi pembukaan klinik keduanya di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk makluman, beliau merupakan graduan dalam bidang pergigian dari Universiti Malaya (UM) sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana Sains Pergigian dalam bidang prostetik dan gerodontologi pada tahun 1990.

Kemudian, dia memulakan kerjaya sebagai pensyarah dan membuka klinik pergigian pertamanya di TTDI pada 1996.

Menurut Dr. Kamsiah, minatnya terhadap bidang implan pergigian berputik apabila beliau berpeluang mengikuti latihan bersama Per-Ingvar Branemark iaitu seorang doktor, penyelidik, profesor anatomi serta diiktiraf sebagai bapa implantologi pergigian moden.

“Memandangkan negara ini ketiadaan pakar untuk membuat implan gigi. Jadi, saya yang ketika itu bertugas sebagai pensyarah di UM mengambil peluang untuk belajar dengan Branemark di University of Gothenburg, Sweden dengan biaya sendiri.

“Selepas itu, saya belajar mengenai prostodontik dengan pakar di Perth, Australia, sebelum melanjutkan latihan kepakaran lain di beberapa negara,” katanya.

DR. KAMSIAH (tengah) bergambar kenangan bersama stafnya sewaktu pembukaan klinik kedua di TTDI, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hasil kerja kerasnya, beliau meraih kepakaran berkaitan prostodontik, pergigian kosmetik, pemulihan seluruh mulut, implan pergigian ‘All-on-4’, ortodontik berasaskan skru tulang dan reka bentuk senyuman digital.

Latihan dan kepakaran tersebut menjadikan beliau perintis bagi kebanyakan prosedur pergigian moden yang ada di Malaysia pada ketika ini.

Disebabkan itu, pesakit-pesakitnya bukan sahaja terdiri daripada orang awam, malah termasuk golongan kenamaan serta kerabat raja dari dalam dan luar negara.

“Saya seorang yang sangat bersungguh-sungguh apabila melakukan sesuatu, begitu juga dalam bidang pergigian. Saya mahu jadi orang pertama yang melakukannya.

“Salah satunya, saya adalah orang pertama yang buat rawatan cabut semua gigi rosak dan tanam (implan) terus, prosedur itu selesai pada hari sama.

“Prosedur ini antara yang paling kompleks dan mahal,” ujar ibu kepada lima orang cahaya mata itu.

Cerita wanita kelahiran Melaka itu, rawatan cabut semua gigi rosak dan tanam terus merupakan prosedur yang paling lama pernah beliau lakukan iaitu kira-kira 12 jam.

Namun kini, dengan kecanggihan teknologi, rawatan tersebut dapat disiapkan dengan lebih cepat.

Berkongsi mengenai prinsip hidupnya, Dr. Kamsiah berkata, kita perlu sentiasa gembira pada setiap hari kerana kebahagian bukan bergantung kepada orang, benda atau tempat, sebaliknya ia adalah satu perjalanan.

“Semua orang ada masalah termasuk diri saya, tetapi kita tak boleh layan perasaan sedih itu. Ini kerana, kebahagiaan itu kita yang tentukan, bukan orang lain.

“Walaupun diuji dengan pelbagai masalah, namun saya akan tinggalkan masalah itu di belakang dan masuk ke klinik berjumpa pesakit dengan senyuman.

“Lagipun, saya sangat seronok dengan kerja ini kerana dapat berjumpa ramai orang. Saya rasa sangat puas jika dapat memberikan rawatan terbaik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN