fbpx
Gambar hiasan.

Nile Tech tiada akses aplikasi MyJPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Nile Tech Sdn Bhd tidak diberikan akses kepada pangkalan data aplikasi MyJPJ selain tiada maklumat profil pengguna dihantar secara automatik kepada syarikat itu menerusi pautan pembaharuan insurans dalam aplikasi itu.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan perkhidmatan pembaharuan insurans yang dipaparkan dalam MyJPJ hanya berbentuk pautan yang membawa pengguna ke portal Nile Tech untuk melengkapkan urusan dan transaksi.

“Apabila pautan tersebut dipilih, pengguna akan dibawa keluar daripada aplikasi MyJPJ ke portal Nile Tech. Semua urusan dan transaksi pembaharuan insurans dilaksanakan di portal itu.

“Sekiranya pengguna memilih untuk meneruskan urusan di portal Nile Tech, maklumat yang dimasukkan pengguna tertakluk kepada terma, syarat dan dasar privasi portal itu,” menurut MOT bagi menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai langkah perlindungan bagi memastikan data peribadi pengguna tidak diakses oleh pihak ketiga.

Kementerian itu memaklumkan, Nile Tech dilantik sebagai penyedia platform bagi menawarkan saluran alternatif untuk pembaharuan insurans kenderaan kepada pengguna MyJPJ bagi memudahkan urusan pengguna secara dalam talian dan mengurangkan keperluan berurusan di kaunter fizikal.

“Pelantikan ini dilaksanakan melalui proses ditetapkan MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

“Syarikat tidak diberikan hak eksklusif untuk menyediakan perkhidmatan tersebut dan pelaksanaannya tidak melibatkan kos kepada kerajaan,” menurut kementerian itu. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN