TAPAH – Program Jom Semarak Subuh Seperti Solat Jumaat hari ini yang melibatkan 14 buah masjid di daerah ini mendapat sambutan hangat dengan kehadiran lebih 200 orang tanpa mengira peringkat umur termasuk kanak-kanak di tempat masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru (M) Ayer Kuning, Zamzuree Mohd. Isa berkata, lebih 200 kariah di Masjid Jamek Ayer Kuning telah datang ke masjid itu seawal pukul 5.30 pagi.
“Malah ada kanak-kanak seawal umur enam tahun telah hadir awal bersama ibu bapa. Ini merupakan satu perkembangan yang baik memberi pendedahan kepada mereka untuk mencintai masjid. Selain itu, ramai golongan muda termasuk remaja turut sama-sama menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Ini merupakan perkembangan positif,” katanya di sini hari ini.
Katanya, selain menunaikan solat Subuh, terdapat pengisian ceramah agama serta para jemaah dapat menikmati sarapan pagi yang disediakan.
Ujarnya, ada masjid yang memberikan wang saku kepada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun sebagai usaha mendidik mereka mengimarahkan masjid kariah berdekatan.
Program secara serentak pertama seumpamanya di negara ini merupakan anjuran bersama Pejabat DUN Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning serta Chenderiang.
















