HULU SELANGOR – Seramai tujuh individu dilaporkan lemas manakala seorang lagi dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak di sini, petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5.55 petang itu melibatkan beberapa kumpulan pengunjung yang sedang berkelah dan berkhemah di sekitar Sungai Pertak, Lata Jabus, Kem Sungai Luit serta Gunung Rajah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua hari ini dengan pencarian dibahagikan kepada empat sektor.
Menurutnya, sektor A meliputi kawasan Lata Jabus hingga Lubuk Pertak, manakala sektor B dari Lubuk Pertak hingga Jambatan Dam.
“Sektor C tertumpu di kawasan Jambatan Dam, manakala sektor D melibatkan kawasan empangan.
“Pembahagian kepada empat sektor ini bagi memastikan pencarian dapat dilakukan secara menyeluruh di kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan.
Ashrul Riezal berkata, kes pertama melibatkan lima lelaki warga Yaman yang sedang berkelah di Sungai Pertak dengan empat daripadanya berjaya diselamatkan manakala seorang lagi dihanyutkan arus.
“Kes kedua pula membabitkan 14 mangsa di Lata Jabus dengan tiga orang berjaya menyelamatkan diri, empat terkandas dan tujuh lagi dilaporkan lemas.
“Pasukan penyelamat turut menerima laporan tujuh individu terkandas di Kem Sungai Luit serta lapan individu dari kawasan Gunung Rajah,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, seramai 19 mangsa yang terkandas berjaya dibawa turun pada pukul 12.16 tengah malam tadi, manakala seorang mangsa lelaki tempatan ditemukan di kawasan Jambatan Pertak pada pukul 1.30 pagi.
Operasi berkenaan melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Penyelamat Di Air, STORM serta pasukan sukarelawan. – KOSMO! ONLINE
















