SUNDERLAND – Pengurus Chelsea, Xabi Alonso enggan menuding jari kepada pengadil perlawanan, Jarrad Gillet ekoran kekalahan 0-1 kepada Sunderland pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium of Light malam kelmarin.
Sebaliknya, beliau menyalahkan pemain-pemainnya sendiri kerana gagal untuk mencipta lebih banyak peluang selain kurang tajam dari segi penyudah ketika berada di depan pintu gol The Black Cats.
Alonso berkata, kekalahan itu berpunca daripada kelemahan mereka sendiri yang kurang kreatif untuk mencipta peluang jaringan dan gagal memecahkan benteng pertahanan pasukan seperti Sunderland.
“Sebenarnya ia (kalah) disebabkan oleh kesilapan kami sendiri dan saya perlu mencari jalan penyelesaian. Kami tidak mencipta banyak peluang, mungkin ia disebabkan oleh kurang kreatif di bahagian serangan.
“Memang kami sudah bersedia untuk berdepan aksi fizikal Sunderland kerana bukan mudah bermain di sini. Kami sepatutnya menampilkan aksi lebih baik, ia masih boleh diperbaiki lagi,” katanya.
Pada perlawanan itu, Gillet menjadi tumpuan apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada Sunderland yang kemudiannya disempurnakan Enzo Le Fee, namun menafikan sepakan penalti Chelsea ketika Cole Palmer dikasari.
“Saya tidak dapat melihat dengan jelas insiden Cole (Palmer), tetapi memang ada peluang untuk dapat sepakan penalti. Bagi sepakan penalti Sunderland, mungkin kami perlu bertahan lebih baik,” ujar Alonso. – AGENSI
















