WASHINGTON – Sebuah kapal tangki melanggar kapal persiaran sungai yang berlabuh di New Orleans semalam, menyebabkannya terbalik tetapi semua 180 orang di dalamnya dilaporkan selamat, kata pihak berkuasa.
Dalam kemalangan itu, kapal persiaran American Heritage milik syarikat American Cruise Lines berlabuh kira-kira dua jam di Sungai Mississippi apabila dirempuh kapal tangki Atlantic Asphalt.
Walaupun para penumpang sedang turun daripada kapal semasa rempuhan berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari (2.30 pagi waktu Malaysia), tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Ini satu keajaiban (tiada kematian berlaku). Ia adalah keajaiban di Mississippi,” kata Gabenor Negeri Louisiana, Jeff Landry kepada pemberita.
“Seramai 30 orang dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan, namun tiada seorang pun mengalami kecederaan kritikal,” kata Datuk Bandar New Orleans, Helena Moreno dalam satu sidang akhbar.
Dua daripada mangsa yang dimasukkan ke hospital merupakan anggota polis yang sedang membantu proses pemindahan, tambahnya.
Moreno menganggarkan jumlah keseluruhan orang yang berada di dalam kapal persiaran sungai itu adalah antara 180 hingga 190 orang.
American Cruise Lines mengesahkan insiden tersebut dalam satu kenyataan sambil menambah: “Para penumpang dan anak kapal telah dipindahkan, dan kami amat prihatin terhadap semua yang terlibat.”
Punca kapal tangki itu merempuh kapal persiaran sungai itu masih belum jelas.
”Pasukan penyelamat telah memindahkan kira-kira 87 orang daripada kapal persiaran sebelum ia terbalik ke sisinya,” kata Moreno.
Dalam pada itu, Presiden Donald Trump mengucapkan terima kasih kepada Landry atas ‘kepimpinan luar biasa beliau semasa tempoh yang amat sukar ini’,” dalam hantaran di platform miliknya, Truth Social.
Sungai Mississippi telah ditutup kepada lalu lintas kapal di kawasan insiden tersebut.
Pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan telah memulakan siasatan berhubung kemalangan itu. – AFP
















