Mohd Khalid - GAMBAR HIASAN

Hampir 97,000 warga asing ditahan sejak 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 96,844 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah di negara ini dalam tempoh 2024 hingga September lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), trend tangkapan menunjukkan peningkatan sebanyak 10.9 peratus apabila pada tahun lalu seramai 36,740 warga asing ditahan berbanding 33,136 orang pada 2024.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 26,968 tangkapan warga asing direkodkan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah membabitkan warga asing di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usaha itu turut merangkumi pengukuhan kerjasama dengan agensi kerajaan lain menerusi operasi bersepadu, perkongsian risikan dan tindakan penguatkuasaan lebih berkesan.

“Komitmen kami melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara tegas dan berterusan terhadap mana-mana individu, termasuk warga asing yang didapati terbabit dalam kegiatan jenayah di negara ini.

“Dalam tindakan ini, PDRM berpegang teguh kepada prinsip kesamarataan di sisi undang-undang kepada semua tanpa mengira status, kedudukan atau kewarganegaraan adalah tertakluk kepada undang-undang negara,” katanya.

Tegasnya, sebarang perbuatan melanggar undang-undang tidak akan dikompromi dan ditangani menerusi tindakan penguatkuasaan tegas selaras dengan peruntukan perundangan berkuat kuasa.

Dalam pada itu, Mohd Khalid menyeru masyarakat supaya terus memainkan peranan sebagai rakan strategik polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa.

“Kerjasama dan keprihatinan masyarakat amat penting dalam membantu usaha pencegahan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN