LONDON – Kapten England, Harry Kane melakar sejarah baharu apabila menjadi pemain yang memiliki kaps paling banyak dengan 126 penampilan ketika membantu The Three Lions menewaskan Croatia 2-1 awal pagi semalam.
Pada aksi Kumpulan A3 Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Stadium Wembley itu, Kane turut menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan selepas menyempurnakan sepakan penalti di minit ke-64.
Perlawanan itu menyaksikan Kane memadam rekod 125 penampilan milik Peter Shilton dan dia diraikan oleh penyokong-penyokong England yang menyediakan tifo gergasi sebelum sepak mula dilakukan.
Kane berkata, rekod itu terus membakar semangat juang dalam dirinya selain menjadikan kapten Croatia, Luka Modric sebagai inspirasi apabila masih beraksi di pentas tertinggi di usia 41 tahun.
“Dia (Modric) merupakan salah satu inspirasi untuk kami kerana masih bermain di tahap seperti ini pada usia 41 tahun. Ia memberikan motivasi kepada saya untuk mencabar diri ke tahap maksimum.
“Setiap orang ada perjalanan yang berbeza, tetapi saya akan terus membantu pasukan kebangsaan selagi mampu. Sama ada bermain hingga usia 40 tahun ataupun tidak, kita tunggu dan lihat nanti,” katanya.
Pemenang anugerah Ballon d’Or itu turut memasang impian untuk membantu The Three Lions menjadi juara Euro 2028 di mana England, Scotland, Wales dan Republik Ireland berganding bahu sebagai tuan rumah. – AGENSI
















