PETALING JAYA – Seramai 687,697 pengundi berdaftar bakal menjadi penentu kepada percaturan politik dan kerajaan baharu Melaka apabila mereka turun mengundi hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 675,166 merupakan pengundi biasa, manakala 9,769 anggota tentera bersama pasangan dan 2,762 anggota polis yang telah turun mengundi awal pada 10 November lalu.
Pertarungan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini juga bukan sekadar menentukan gabungan yang bakal membentuk kerajaan negeri, sebaliknya menjadi medan menguji keberkesanan kerjasama antara parti-parti politik kepada undi sebenar di peti undi.
Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, Barisan Nasional (BN) masih berada pada kedudukan paling selesa untuk mendominasi PRN Melaka.
Ia berdasarkan kekuatan jentera akar umbi, rekod pentadbiran kerajaan negeri serta kerjasama strategik BN dengan rakan parti Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, BN berpotensi memenangi sekurang-kurangnya 24 kerusi DUN, manakala kerjasama kedua-dua gabungan itu turut membuka peluang untuk memperoleh majoriti dua pertiga sekiranya pemindahan undi berjalan lancar.
“Pada pandangan saya BN masih berada pada kedudukan paling selesa untuk mendominasi PRN Melaka kali ini.
“Kekuatan jentera akar umbi, rekod pentadbiran kerajaan negeri serta kerjasama strategik dengan PN memberikan kelebihan besar kepada BN,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata, kelebihan BN turut disokong pemilihan calon berpengalaman yang mempunyai pengaruh di kawasan masing-masing termasuk penyandang DUN Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem: Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira Abu Zahar.
Namun, kekuatan gabungan itu masih bergantung kepada sejauh mana penyokong BN dan PN bersedia menerima calon parti rakan, khususnya di kawasan yang sebelum ini mempunyai persaingan politik tersendiri.
“Jika pemindahan undi gagal berlaku secara menyeluruh, kelebihan gabungan itu boleh terjejas dan membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mencuri beberapa kerusi yang berpotensi mengubah sasaran majoriti dua pertiga,” katanya.
Bagaimanapun Mohammad Tawfiq berkata, PH masih mempunyai peluang mencipta kejutan di Machap Jaya, Kelebang, Durian Tunggal dan Paya Rumput berdasarkan komposisi pengundi di kawasan itu.
“Cabaran terbesar PH adalah menarik sokongan pengundi Melayu, mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu serta menggerakkan pengundi atas pagar yang boleh menjadi penentu keputusan di kerusi panas.
“Jika PH berjaya menguasai beberapa kerusi panas ini, keadaan ini boleh menjejaskan usaha BN-PN memperoleh majoriti dua pertiga,” katanya.
Dalam persaingan itu, kemungkinan beberapa nama besar akan tumbang khususnya bekas Ketua Menteri, Adly Zahari yang bertanding di Bukit Katil.
“Adly berdepan cabaran besar susulan penyatuan sokongan BN-PN, manakala Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong di Kelebang turut berdepan saingan PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya.
Kedudukan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di Tanjung Bidara dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh di Merlimau dilihat lebih kukuh berdasarkan pengaruh peribadi serta kekuatan jentera parti kawasan masing-masing.
Selain faktor gabungan dan populariti calon, keputusan PRN kali ini turut dipengaruhi lima perkara utama iaitu keberkesanan pemindahan undi, sokongan pengundi muda dan atas pagar, kadar keluar mengundi, kredibiliti calon serta keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negeri.
Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan, perumahan mampu milik dan kesejahteraan rakyat juga tidak boleh dipandang ringan kerana perkara itu mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan seharian pengundi.
Jelasnya, gabungan yang paling berjaya meyakinkan rakyat mengenai kestabilan pentadbiran serta mampu menggerakkan penyokong keluar mengundi hari ini mempunyai kelebihan untuk membentuk kerajaan negeri.
PRN Melaka ke-16 kali ini menyaksikan PH mempertaruhkan calon di 24 kerusi DUN, diikuti BN (23), Parti Bersama Malaysia (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (tujuh), PN (lima), parti Pribumi Perkasa Malaysia (satu) dan Bebas (tiga).
Sebelum ini, pada PRN Melaka ke-15, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lima kerusi dan PN menang dua kerusi. – KOSMO! ONLINE
















