PETALING JAYA – Pergerakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selama hampir lapan jam di luar kediamannya bukan sekadar bagi menunaikan solat Jumaat, sebaliknya turut melibatkan urusan seperti pemeriksaan kesihatan, sesi pengajian al-Quran dan kaunseling.
Jabatan Penjara berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media berhubung pergerakan Najib yang dilaporkan berada di luar kediamannya selama hampir lapan jam pada hari ini.
“Untuk makluman, pergerakan beliau pada hari tersebut bermula pada pukul 10.25 pagi hingga 6.25 petang dan bukan hanya melibatkan urusan menunaikan solat Jumaat seperti yang dilaporkan.
“Sepanjang tempoh berkenaan, beliau telah menjalani beberapa urusan yang telah ditetapkan iaitu menghadiri janji temu pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan susulan di Jabatan Ortopedik,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Kata kenyataan itu, Najib juga turut menunaikan solat Jumaat di Masjid Penjara Kajang selain mengikuti sesi pengajian al-Quran bersama ustaz daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di Penjara Kajang.
“Beliau juga menghadiri sesi kaunseling bersama Pegawai Psikologi Penjara Kajang.
“Setelah selesai semua urusan tersebut, beliau telah dibawa pulang dari Penjara Kajang pada pukul 5.50 petang dan sampai ke rumah di Jalan Langgak Duta pada pukul 6.25 petang,” katanya.
Jabatan Penjara turut menjelaskan bahawa setiap pergerakan Najib dilaksanakan berdasarkan urusan dan keperluan yang telah ditetapkan serta tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) syarat-syarat tahanan rumah.
“Pelaksanaan aktiviti keagamaan, rawatan kesihatan serta program pemulihan dan intervensi merupakan antara aspek yang diberikan perhatian dalam pengurusan seseorang individu yang sedang menjalani hukuman.
“Jabatan Penjara akan terus memastikan segala urusan berkaitan dilaksanakan secara teratur, profesional dan mematuhi ketetapan yang berkuat kuasa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
















