AMPANG – Tidak sampai sehari selepas aduan mengenai kegiatan mencuri kabel bawah tanah tular di media sosial, tindakan pantas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad bersama pihak berkuasa membawa kepada kejayaan menyita lori dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Syed Ahmad atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata, lori berkenaan telah disita manakala barangan bukti kini berada dalam simpanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.
“Ahli Majlis Perbandaran Aqmpang Jaya, Tuan Samsudin bantu TNB dan PDRM dalam siasatan. Lori dah kena sita dan barang bukti dalam tangan IPD Ampang Jaya utk siasatan lanjut,” katanya menerusi hantaran di Threads semalam.
Tindakan tersebut susulan video aduan seorang pelajar yang dimuat naik menggunakan akuan Threads, Hilman Mirza pagi semalam yang mendakwa berlaku kegiatan mencuri kabel bawah tanah di kawasan berkenaan.
Menerusi rakaman itu, pelajar terbabit mempersoalkan tindakan sekumpulan individu yang didakwa menjalankan kerja-kerja mencuri kabel sebelum meletakkan sebuah lori bagi menutupi lubang yang dipercayai digunakan untuk mengeluarkan kabel berkenaan.
Hantaran itu kemudian mendapat perhatian Altimet yang memberikan maklum balas kira-kira tiga jam selepas aduan berkenaan dimuat naik.
Susulan itu, beliau memaklumkan tindakan susulan sedang diambil dengan kerjasama pihak berkaitan termasuk TNB dan polis.
Kira-kira enam jam kemudian, Altimet sekali lagi memberikan perkembangan positif apabila mengesahkan siasatan sudah dijalankan oleh pihak TNB dan polis.
Di ruangan komen, ramai memuji sikap pelajar tersebut yang cakna dengan keadaan sekeliling dan membuat aduan terbuka berhubung kejadian berkenaan.
“Kelakar adik ni jadi pemberita, tapi mesejnya sampai,” kata @ezfara26.
“Ini menunjukkan remaja sekarang cakna dengan permasalahan. Syabas anak muda ambil tahu,” puji @_kimieee.
“Good job (kerja yang bagus) adik, memberi laporan kepada penguat kuasa yang sepatutnya mengambil tindakan terhadap pencuri kabel,” kata @grandma_zan. – KOSMO! ONLINE
















