TAPAH – Penduduk Kampung Changkat Petai di sini, lega apabila jalan sepanjang empat kilometer yang gelap pada waktu malam hingga mendatangkan pelbagai masalah kini sudah terang selepas dipasang dengan 20 tiang lampu solar LED berkapasiti tinggi.
Ramli Salam, 77, berkata, masalah selama 70 tahun itu akhirnya selesai bulan lalu dan kini penduduk tidak perlu lagi risau terlanggar haiwan seperti lembu, anjing dan babi ketika melalui kawasan itu.
“Ada kemalangan yang mengakibatkan kematian kerana jalan itu agak gelap dan berbahaya terutama ketika hujan lebat dan angin kencang. Ia merupakan jalan utama bagi majoriti penduduk di Tapah, Teluk Intan dan Kampar.
“Di sini terdapat kira-kira 400 penduduk dan jalan itu digunakan oleh kakitangan dan pelajar universiti awam serta pekerja kilang,” katanya.
Abdul Razak Salleh, 70, pula berkata, dia kini boleh ke surau dengan hati yang tenang selepas pemasangan lampu jalan itu.
Pada 18 September lalu, Kosmo! melaporkan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan memberikan peruntukan untuk memasang 20 tiang lampu solar LED itu bagi menyelesaikan masalah jalan gelap.
Sementara itu, Ketua Kampung Changkat Petai, Mohammed Rizzal Jamaludin, 40, berkata, lampu itu telah memudahkan urusan penduduk untuk menghantar anak ke sekolah, pergi dan balik kerja.
“Lampu jalan sedia ada dipasang pada jarak yang jauh dan ia membuatkan ada kawasan menjadi gelap,” katanya. -KOSMO! ONLINE
















