NEW YORK – Manchester United dilapor sudah mendapatkan persetujuan daripada Mauricio Pochettino untuk pelantikan beliau sebagai pengendali baharu kelab tersebut selepas pemecatan Michael Carrick.
Pochettino dijangka menandatangani kontrak selama dua tahun setengah di Old Trafford, selepas United setuju untuk membayar klausa pelepasan bernilai £7 juta (RM37.82 juta) dalam kontraknya bersama pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS)
Pengendali dari Argentina itu bakal menjadi pengurus tetap kelapan United sejak Sir Alex Ferguson bersara pada 2013 dan menjadi harapan baharu untuk kelab itu kembali meraih zaman kegemilangan.
Pochettino yang sebelum ini pernah mengendalikan Tottenham Hotspur, Chelsea dan Paris Saint-Germain (PSG), telah dipertimbangkan untuk jawatan pengurus Manchester United sebanyak tiga kali sebelum ini.
Pengurus berusia 54 tahun itu akan mengendalikan United dalam perlawanan mereka yang seterusnya, iaitu menentang Liverpool pada 22 November selepas rehat antarabangsa, namun beliau perlu mengendalikan pasukan AS dalam suku akhir Liga Negara Concacaf menentang Haiti.
Situasi itu menyaksikan Pochettino hanya memiliki tempoh tiga hari bersama skuad United sebelum perlawanan pertamanya sebagai pengurus untuk berdepan cabaran besar di Anfield nanti.
Carrick terpaksa meninggalkan kelab kurang enam bulan selepas menandatangani kontrak selama dua tahun susulan permulaan musim paling buruk dalam sejarah kelab, apabila United berada di zon penyingkiran selepas hanya mencatatkan satu kemenangan daripada 10 perlawanan.
Dalam perkembangan sama, laporan mendakwa pelantikan Pochettino adalah melibatkan campur tangan pemilik kelab itu, ‘keluarga Glazer’ ketika dua individu berpengaruh di United, Omar Berrada dan Jason Wilcox memiliki calon lain.
Berrada dan Wilcox lebih cenderung supaya United melantik Eddie Howe sebagai pengganti, namun ‘keluarga Glazer’ enggan menerima cadangan berkenaan sekali gus menyaksikan mereka kembali campur tangan dalam urusan kelab. – AGENSI
















